Premier Abang Johari bersama puluhan ribu rakyat saksikan Perarakan Kapal Berhias

KUCHING—Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tunku Bujang hadir menyaksikan Perarakan Kapal Berhias bersempena dengan Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Tebingan Kuching, malam tadi.

Majlis tersebut dimulakan dengan persembahan selamat datang dan simbolik perasmian oleh Premier Sarawak. 

Sementara itu, Sungai Sarawak bermandikan cahaya dengan pertunjukan bunga api dan persembahan istimewa Polis Marin Wilayah Lima yang dikoordinasikan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perarakan kapal berhias tersebut melibatkan sebanyak 20 kapal terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan juga swasta. Lebih 10,000 orang membanjiri Tebingan Kuching untuk turut sama memeriahkan sambutan perayaan.

Sementara itu Samling Timber Malaysia muncul juara diikuti Jabatan Premier Sarawak (naib juara) dan Kementerian Pengangkutan Sarawak tempat ketiga.

Turut hadir Timbalan-timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Prof. Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Menteri-menteri dan dif-dif kenamaan yang lain. 

Persembahan artis terkenal seperti Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip dan artis tempatan lain merupakan acara yang ditunggu-tungu pengunjung.



Sumber Jiwa Bakti

Gambar ihsan Pejabat Premier Sarawak
Next Post Previous Post