Pesara rugi RM120,000 diperdaya "Pegawai Kesihatan"

KUCHING-- Seorang pesara mengalami kerugian RM120,000 selepas diperdaya "Pegawai Kesihatan Hospital Kedah" yang mendakwa mangsa mempunyai rekod terlebih mengambil ubat yang banyak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, lelaki berusia awal 60-an dari Padawan dikatakan menerima panggilan telefon pada pertengahan Jun 2023 sekitar jam 3.45 petang dari seorang lelaki melalui nombor telefon yang tidak dikenali.

"Suspek memperkenalkan diri sebagai Pegawai Kesihatan Hospital Kedah (tidak
ingat nama) dan mengatakan mangsa mempunyai rekod terlebih
mengambil ubat yang banyak. 

"Talian seterusnya telah disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk semakkan lanjut dan mangsa telah bercakap dengan Inspektor Wan Ameena.

"Suspek mengatakan hasil semakkan lanjut mendapati terdapat rekod mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan boleh ditangkap serta didakwa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, mangsa yang panik dan takut telah diminta untuk bekerjasama dengan menyerahkan butiran akaun bank kononnya untuk siasatan lanjut.

Jelas Azman, mangsa kemudian telah memberikan nombor kad ATM Bank Simpanan berserta nombor pin kepada suspek. 

"Selepas itu, suspek meminta mangsa untuk pergi ke bank mengeluarkan wang di dalam akaun ASB sebanyak RM120,000 dan wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun bank milik mangsa sendiri. 

"Mangsa kemudian dinasihatkan untuk tidak berhubung dengan pihak lain sementara siasatan dijalankan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pada 3 Julai 2023, mangsa kemudian telah menyemak wang dalam akaun bank miliknya telah berkurangan sebanyak RM120,000.

"Hasil semakan lanjut juga mendapati ada lima kali transaksi pindahan wang berlaku di antara tarikh 1 Julai 2023 dan 2 Julai 2023 ke akaun bank atas nama
individu tidak dikenali. 

"Mangsa sedar telah ditipu kemudian tampil membuat laporan untuk siasatan lanjut pihak polis," ujarnya.
Next Post Previous Post