Op Khas III: 266 saman, 13 ditangkap

KUCHING—Sebanyak 266 keping saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan trafik dan 13 individu ditangkap sepanjang Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah Khas III Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bermula pada 14 hingga 16 Julai 2023.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, lapan daripada individu ditangkap itu atas kesalahan penyalahgunaan dadah di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Manakala dua tangkapan ke atas individu melibatkan lain-lain kesalahan jenayah dan tiga tangkapan pula melibatkan kesalahan trafik. 

"Selain itu, sebanyak 266 keping saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan trafik," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah Ahsmon, sepanjang tempoh operasi tersebut, sebanyak 4,592 kederaan telah diperiksa dengan pecahan kereta (2,769 buah), motosikal (1,210 buah) dan lain-lain kenderaan (613 buah).

Mengulas tentang operasi itu, beliau memberitahh objektif utama adalah untuk membanteras dan mencegah jenayah bagi kes-kes yang meningkat khususnya kes kecurian kenderaan, rondaan cegah jenayah di kawasan tumpuan ramai.

Selain itu, katanya kawasan sasaran dan berisiko tinggi termasuk melaksanakan sekatan jalan raya di lokasi-lokasi strategik.

"Operasi pencegahan jenayah seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras dan mencegah jenayah serta menjamin keselamatan masyarakat awam di kawasan setempat khususnya di bandar raya Kuching," tegasnya.
Next Post Previous Post