MV Tung Sung Karam: Empat mayat ditemukan, empat masih hilang

 
KUCHING— Empat mayat yang dipercayai mangsa kapal MV Tung Sung yang karam di perairan Pulau Burung, Sebuyau ditemukan petang Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, keempat-empat mayat itu ditemui oleh nelayan yang melalui kawasan itu antara jam 1.15 petang hingga 5.25 petang.

 “Maritim Negeri Sarawak telah menerima maklumat daripada bot nelayan tempatan pada jam lebih kurang 1.15 petang, berkenaan penemuan tiga mayat terapung pada jarak lebih kurang 15 batu nautika timur laut dari Pulau Burung.
 
“Sejurus menerima maklumat tersebut, Maritim Negeri Sarawak melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching telah mengaturgerakkan Kapal Maritim (KM) Kota Kinabalu bersama aset agensi sahabat ke lokasi penemuan mayat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu (22 Julai).

Zin Azman berkata, ketiga-tiga mayat ditemui belum dapat dikenalpasti identiti dan telah diserah kepada pihak Polis Daerah Sebuyau dan Hospital untuk siasatan selanjutnya.
 
Manakala, sekitar jam 5.25 petang, KM Kota Kinabalu yang diarahkan ke sektor pencarian baharu telah menemui satu lagi mayat di dalam sektor pencarian.
 
Sementara itu Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) masih diteruskan bagi mencari empat baki mangsa yang masih hilang.
 
Sebanyak enam aset telah diaturgerakkan untuk Operasi CARILAMAT pada hari ini melibatkan aset laut daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM) PDRM, Sarawak Coast Guard (SCG), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan kekuatan seramai 87 pegawai dan anggota.
Next Post Previous Post