Lelaki di Miri berdepan hukuman gantung edar 1.5 kilogram dadah

MIRI— Seorang lelaki tempatan berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup selepas ditahan kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah di sini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek diberkas sepasukan pegawai dan anggota Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sebuah bilik di pusat bandar kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi (22 Julai).

“Hasil pemeriksaan dan serbuan, pihak polis telah merampas barang disyaki dadah jenis MDMA (Methylenedioxymethamphetamine) dianggarkan seberat 1,500 gram dan bernilai RM29,400.

“Berikutan itu suspek ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexson menambah, kes ini disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau boleh dipenjara  seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali sebatan.

Beliau menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah ini untuk segera melaporkannya ke balai polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama.
Next Post Previous Post