Keutuhan perpaduan kunci keharmonian rakyat: Fadillah

PUTRAJAYA-- Keutuhan perpaduan adalah kunci untuk keharmonian, kemakmuran serta kesejahteraan rakyat dan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau memberitahu, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan, masyarakat perlu berganding bahu untuk menjayakan gagasan Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Usaha ini akan mempercepatkan lagi proses pembinaan negara bangsa melalui teras perpaduan yang kukuh dalam mendepani pelbagai cabaran. 

"Melihat kepada senario semasa, saya juga menasihatkan supaya rakyat Malaysia dapat menjauhi sifat ekstremis yang menabur fahaman perpecahan serta menyemarakkan api perkauman yang boleh mencetuskan perpecahan dan suasana tidak harmoni dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) di sini hari ini. 

Dalam mesyuarat itu, Fadillah yang juga Pengerusi MPPN menyaksikan pelantikan 18 ahli MPPN yang terdiri daripada tokoh-tokoh masyarakat merangkumi pelbagai sektor dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Perpaduan Negara.

Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Menteri Perpaduan Negara selaku Timbalan Pengerusi MPPN Datuk Aaron Ago Dagang.

Selain itu, Fadillah juga menekankan kepada Titah Yang DiPertuan
Agong semasa majlis perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat
Kebangsaan di Kuching, Sarawak pada 21 Mei 2023 yang lalu agar nilai
perpaduan dijadikan aset negara demi menjamin masa depan, mengurangkan jurang perbezaan antara rakyat negara ini dan rumah dijadikan asas permulaan amalan perpaduan. 

"Justeru, titah Baginda mengenai tiga perkara utama ini telah meletakkan perpaduan sebagai perkara asas dan perlu diberi tumpuan khusus.

"Adalah menjadi tanggungjawab bersama ahli-ahli MPPN bagi memikirkan usaha-usaha yang perlu dilaksanakan sejajar dengan kerangka perpaduan baharu yang telah dibangunkan oleh Kementerian Perpaduan Negara yang berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian bagi merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI," ujarnya.

Mengenai MPPN katanya ia ditubuhkan sebagai usaha bagi menasihati Kerajaan dalam hal ehwal perpaduan serta membincangkan isu-isu perpaduan, usaha-usaha penyatuan nasional (national reconciliation) dari pelbagai sudut serta mencadangkan kaedah penyelesaian terbaik kepada Kerajaan untuk memastikan perpaduan negara terus dipelihara agar masyarakat negara ini dapat menikmati kehidupan yang aman, sejahtera dan harmoni.

"MPPN pada kali ini turut membincangkan dan berkongsi mengenai
beberapa perkara utama seperti hasil kajian Indeks Perpaduan Nasional
(IPNas), Kerangka Perpaduan Malaysia MADANI, cadangan pemerkasaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan cadangan pelaksanaan lafaz penuh ikrar Rukun Negara dalam majlis-majlis rasmi kerajaan, di sekolah-sekolah serta institut pengajian tinggi seluruh
negara. 

"Selain itu, mesyuarat ini juga mendapatkan maklum balas daripada
ahli-ahli MPPN mengenai usaha dan inisiatif baharu yang telah dilaksanakan
dalam memperkasa agenda perpaduan nasional," jelasnya.
Next Post Previous Post