4 mangsa bot karam di Miri masih belum ditemukan

MIRI-- Pencarian dua bot nelayan yang hilang di perairan Miri diteruskan pada hari ini oleh Pasukan Hadapan Carilamat (PHC) dengan mengatur gerak aset laut dan udara bagi mengesan empat lagi mangsa bot berkenaan di kawasan perairan terbabit. 

Pengarah Zon Maritim Miri Kepten Maritim Mohd Shafie Paing berkata, mangsa yang masih hilang adalah Masni Jana, Zaidi Nawi, Anuar Amin dan Junaidi Nyaman, kesemua mereka berumur 43 hingga 70 tahun.

"Manakala dua mangsa bot nelayan tempatan yang dilaporkan hilang semalam telah ditemui selamat oleh pasukan Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) di kawasan perairan Kuala Bakam, Miri petang semalam.

"Dua mangsa iaitu Mohamad Azrul Abdullah dan Muhammad Firdaus Mustaqim Roly masing-masing berumur 35 tahun ditemui semalam di perairan Kuala Bakam dalam keadaan selamat.

"Mereka merupakan antara enam orang mangsa bot nelayan tempatan iaitu SFS3-4334 dan SFS3-4271 yang dilaporkan hilang dipercayai dipukul ombak ketika menangkap ikan sejak Selasa lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Beliau turut berkata, setelah menerima aduan, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah mengatur gerak Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mencari dua buah bot berkenaan sejak pagi semalam.

Tambahnya, Op CARILAMAT hari ini turut melibatkan agensi sahabat iaitu Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sarawak Coast Guard dan komuniti maritim nelayan Piasau.

"Berikutan kejadian berkenaan, Zon Maritim Miri menasihati orang awam khususnya komuniti maritim agar lebih peka terhadap ramalan cuaca dan mengutamakan keselamatan dengan memakai jaket keselamatan semasa berada di laut bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

"Sebarang kecemasan di laut secara terus melalui talian Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082-432544/ 082-432016 yang beroperasi 24 jam," ujarnya.
Next Post Previous Post