Kanak-kanak perempuan maut jatuh dari tingkat 10 bangunan

LABUAN—Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat 10 bangunan apartment pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.28 pagi semalam, mayat tersebut ditemukan di tingkat satu bangunan berkenaan.

Ketua Polis Labuan Superintenden Ahmad Jawila berkata, siasatan awal polis mendapati kanak-kanak itu adalah warga tempatan yang tinggal di tingkat 10 bangunan berkenaan.

“Mangsa dipercayai telah terjatuh dari bahagian tepi bangunan berpagar berdekatan dengan lif apartment tersebut.

“Pegawai Perubatan telah hadir di lokasi kejadian pada jam kira-kira 7.42 pagi dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Labuan dan diserahkan ke Unit Forensik untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ahmad menambah, siasatan awal polis tidak menemui sebarang unsur jenayah kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR).

Katanya, pihak polis memohon orang ramai yang melihat kejadian ini untuk tampil memberi maklumat di mana-mana balai polis berdekatan atau berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan di talian 087-412222.
Next Post Previous Post