Jenazah tujuh beranak tragedi kepala air selamat disemadikan

Jenazah tujuh beranak yang terkorban dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Terengganu selamat disemadikan malam tadi. Gambar kredit Kosmo Online

KEMAMAN— Jenazah tujuh beranak yang terkorban dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Terengganu selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir Tiga, Kuantan malam tadi.

Tujuh jenazah itu ialah Karim Abdullah, 39 tahun, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40 tahun.

Turut dikebumikan lima anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11 tahun; Putri Nurerina Natasya,10 tahun; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 tahun; Putri Aryana Umaira Karim, 4 tahun, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18 tahun.

Menurut Astro Awani, suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan yang dihadiri ahli keluarga serta kenalan semua mangsa, dan difahamkan sudah berada di tanah rancangan berkenaan sejak pagi untuk memberi penghormatan terakhir selepas mengetahui pengebumian dilakukan hari ini.

Pengebumian selesai pada jam 11.52 malam. 

Terdahulu jenazah  dibawa dari  Hospital Sultanah Zahirah Kuala Terengganu  tibadi Masjid Felda Lepar Hilir Tiga, Kuantan pada pukul 10.00 malam dan disembahyangkan dengan diimamkan oleh Ibrahim Mat Nor.

Jenazah dibawa menaiki tujuh van jenazah ihsan badan bukan kerajaan (NGO).

Kenderaan jenazah turut diiringi Unit Kereta Peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

Ahad lepas, media melaporkan 10 individu termasuk sembilan sekeluarga hilang selepas dihanyutkan kepala air semasa berkelah di jeram itu pada petang Sabtu.

Mayat Putri Alleya Maisarah Karim, 16, ditemukan pada 3 petang tadi manakala mangsa yang masih hilang ialah Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor iaitu tunang Putri Balqis Izzati.
Next Post Previous Post