Inspektor Sheila kalahkan Ratu Cantik

Inspektor Sheila (dua kanan) bersama peguam M Manoharan menghadiri Mrs Earth Malaysia 2023 di sebuah hotel di Damansara baru-baru ini. Gambar FB Manoharan Malayalam.

PETALING JAYA – Jarang berlaku seorang pegawai polis wanita yang terkenal dengan ketegasan semasa bertugas dapat mengalahkan kecantikan ratu cantik.

Namun kuasa viral di media sosial kini membuktikan keadaan sudah berubah. Selepas video memarahi anggota bawahan dan orang awam tular diikuti hantaran mencari pasangan di Facebook minggu lalu, populariti Inspektor Sheila terus meningkat.

Setakat hari ini pengikut di media sosial Facebook menggunakan nama Sheila Sharon Steven Kumar sudah mencecah 16,000 pengikut.

Terbaharu, Sheila menghadiri pertandingan Mrs Earth Malaysia 2023 di sebuah hotel terkemuka di Damansara.

Tetamu yang menyedari kedatangan Sheila di Prime Hotel menggunakan evening dress tidak melepaskan peluang untuk berswafoto dan merakamkan gambar. Turut mengiringi Sheila ialah peguam M. Manoharan.

Meskipun terpalit kontroversi selepas video menghina dan mengaibkan pegawai bawahan serta orang awam viral, populariti Sheila dilihat menenggelamkan majlis tersebut.

Dia turut meluangkan masa menikmati minuman bersama sebahagian tetamu yang tidak melepaskan peluang bertanyakan perkembangan kesnya di mahkamah.

Dalam temubual kepada The Vibes, Sheila,35 bertegas bahawa dia tidak melakukan kesalahan dan akan melawan kesnya melalui sistem perundangan.

Media melaporkan, dia yang beberapa kali videonya tular memarahi anggota polis bawahan dan orang awam, baru-baru ini sudah digantung tugas mengikut Seksyen 78 Akta Polis 1967 telah pun disempurnakan terhadap pegawai berkenaan.

"Sehubungan itu segala kuasa-kuasa, hak dan keistimewaan subjek (Sheila) sebagai seorang pegawai polis adalah tergantung sehingga diputuskan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT)," katanya dipetik Berita Harian.

Pada 26 Jun lalu, Sheila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang, dengan tiga pertuduhan jenayah iaitu dua di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan satu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Dia mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan di atas ketiga-tiga tuduhan berkenaan sejurus kertas pertuduhan dikemukakan.

"Saya tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan. Saya faham pertuduhan," katanya selepas tuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Chai Guan Hock.

Sheila didakwa mengugut seorang wanita dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki dengan berkata; "You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu" mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Next Post Previous Post