Bekerja dalam satu pasukan depani cabaran, Abang Johari

Abang Johari (tengah) melakukan simbolik perasmian Ijtimak Ilmuwan Islam Antarabangsa 1445H/2023M. Gambar ihsan Jabatan Penerangan Sarawak.

KUCHING—Para ilmuan agama Islam, pucuk kepimpinan, pengurusan dan pentadbiran harus bekerja dalam satu pasukan untuk mendepani cabaran dem mencapai misi, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak berkata, bekerja dalam satu pasukan dengan berkongsi kepentingan bersama akan membolehkan masyarakat mencapai matlamat yang sama.

Pasukan yang memiliki ciri-ciri nilai bersama akan boleh membentuki satu ikatan lebih kukuh dan berpanjang.

“Nilai-nilai kerja bersama adalah bersifat sejagat dan menjadi ajaran dalam agama Islam. Nilai-nilai itu termasuk bersikap ikhlas, jujur, amanah dan disiplin bagi mencapai kejayaan sebenar,” katanya berucap merasmikan Ijtimak Ilmuan Islam Antarabangsa sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia, hari ini (25 Julai).

Bertemakan ‘Keharmonian Kepimpinan dan Pengurusan Mengangkat Martabat Ummah’ ijtimak dua hari itu menampilkan tujuh ilmuan terkemuka dari United Kingdom, Turkiye, Indonesia, Singapura, Australia, Qatar dan Semenanjung Malaysia.

Abang Johari menegaskan, Apa yang terjadi kepada masyarakat di negara membangun atau masyarakat yang terdedah kepada budaya barat, katanya, hendaklah dijadikan pengajaran bagi umat Islam di negeri ini untuk membina masyarakat yang lebih harmoni dan budaya hidup seimbang.

Beliau berharap ijtimak dua hari itu dapat dijadikan platform bagi ilmuan Islam dari luar dan dalam negara berkongsi idea untuk mencari jalan penyelesaian terbaik menangani isu berkaitan dengan umat Islam di negara ini.

Premier Sarawak berkata, rakyat hanya dapat mengecapi kemajuan sosioekonomi jika hidup dalam suasana harmoni dan saling bersatu tanpa mengira latar belakang, budaya dan agama.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha.



Sumber Jiwa Bakti
Next Post Previous Post