Agong sanjungi pengorbanan perwira ATM, PDRM

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tidak dapat menahan sebak semasa berkenan menyaksikan persembahan pantomim pada Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan, pada Isnin. Gambar ihsan Istana Negara

PUTRAJAYA— Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyanjung tinggi pengorbanan dicurahkan para perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melindungi kedaulatan dan menjaga keselamatan tanah air tercinta.

Menerusi satu hantara melalui Facebook Istana Negara hari ini bersempena Hari Pahlawan, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan penghargaan atas jasa, khidmat serta bakti yang dicurahkan oleh mereka tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memikul amanah menjaga keamanan negara.

“Sesungguhnya jerih-perih anggota pertahanan dan keselamatan termasuk para pejuang tanah air pada masa dahulu dan sekarang adalah demi negara ini yang berdaulat.

“Seri Paduka berdua turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga para pahlawan dan perwira yang telah terkorban semasa bertugas,” katanya.

Pada masa yang sama kata Istana Negara, Seri Paduka berdua mendoakan semoga roh mereka yang beragama Islam dicucuri rahmat oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan ditempatkan bersama para solihin.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof tidak ketinggalan menzahirkan penghargaan kepada warga ATM dan PDRM.

Beliau berterima kasih di atas setiap titis keringat, jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan para pahlawan negara dalam melindungi dan mempertahankan kedaulatan serta dalam menjaga keselamatan rakyat dan negara Malaysia tercinta.

“Tanpa pengorbanan anda semua baik yang telah gugur berkorban nyawa demi negara, malah bagi yang masih setia berkhidmat, kita semua warga Malaysia mungkin tidak akan dapat menikmati keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran seperti pada hari ini.

“Terima kasih sekali lagi wira dan wirawati negara. Jasa kalian hanya Allah SWT jua yang dapat membalasnya,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Gambar Ihsan Twitter Anwar Ibrahim. 
Next Post Previous Post