Malaysia, Indonesia bergabung tenaga melawan diskriminasi Eropah


BRUSSELS -- Berpuluh juta orang pekebun kecil di Malaysia dan Indonesia bakal menjadi mangsa peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang baharu diluluskan.

Ini kerana, pekebun kecil kelapa sawit menyumbang kira-kira 41 peratus serta 27 peratus jumlah kawasan tanaman masing-masing di Indonesia dan Malaysia. 

Jika bergabung, kedua-dua negara menyumbang lebih 80 peratus kepada pasaran minyak sawit global, dengan 35 peratus hingga 40 peratus adalah adalah dari pekebun kecil.

Sejak kebelakangan ini kita melihat luahan pekebun kecil tentang penurunan mendadak harga kelapa sawit di media sosial.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Mei, keputusan Parlimen EU meluluskan undang-undang melarang eksport produk yang menyumbang kepada penebangan hutan akan menjejaskan pendapatan kira-kira 450,000 pekebun sawit di negara ini.

Bagi pasaran Malaysia, EU menyumbang 9.4 peratus daripada jumlah ekport Malaysia atau 1.47 juta tan minyak sawit.

Media arus perdana Indonesia melaporkan EUDR bakal memberi kesan kepada sekitar 16.2 juta warga republik itu yang bergantung nasib kepada sektor kelapa sawit.

Selain minyak sawit, perundangan ini membabitkan lima lagi komoditi iaitu daging lembu, soya, koko, kayu dan kopi. 

Ia mewajibkan pengendali atau operator pengeluran produk komoditi di bawah EUDR membuktikan produk komoditi tidak melibatkan penebangan hutan.

Amat mustahak bagi kedua-dua negara menangani isu EUDR sebaik mungkin kerana ia akan menjejaskan mata pencarian berjuta-juta pekebun kecil serta industri.

Apalagi ketika harga buah tandan segar (BTS) pula dilaporkan terus merudum sejak beberapa minggu ini.

Persoalannya, bagaimanakah kedua-dua negara dapat mengambil iktibar daripada perkembangan yang berlaku di blok perdagangan EU ini?

Mahu tidak mahu, Malaysia dan Indonesia perlu meningkatkan hubungan bilateral demi kepentingan ekonomi bersama.

Malaysia penggerak misi ke Kesatuan Eropah

Malaysia yang mengambil alih jawatan sebagai pengerusi Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) pada 2023 dari Indonesia memainkan peranan penting dalam menentang perlaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Mesyuarat Peringkat Menteri Dua Hala CPOPC yang diadakan pada 9 Februari 2023 di Jakarta sepakat kedua-dua negara mengadakan kerjasama ekonomi melalui lawatan dan misi ke EU.

Misi diketuai bersama oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto.

Fadillah berkata beliau berpuas hati kerana majoriti pemimpin utama EU yang ditemui bersetuju dengan pandangan kedua-dua negara berhubung kesukaran mematuhi EUDR.

Beliau menyifatkan misi yang bertujuan menyuarakan kebimbangan dan bantahan terhadap EUDR menunjukkan kejayaan.

“Mesyuarat peringkat tertinggi kali pertama dengan EU ini satu langkah ke hadapan. Penglibatan berterusan dalam beberapa bulan akan datang adalah penting dalam menjaga kepentingan industri, terutamanya bagi pekebun kecil di Malaysia dan Indonesia,” katanya dipetik Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan lima pemimpin utama EU di Brussels pada Rabu.

Pertemuan diadakan dengan Naib Presiden Eksekutif Rundingan Hijau merangkap Pesuruhjaya Dasar Tindakan Iklim Eropah, Frans Timmermans; Perwakilan Tertinggi Hal Ehwal Luar Negara dan Dasar Keselamatan EU, Josep Borrell-Fontelles; Wakil Tinggi EU untuk Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan, Virginijus Sinkevičius; Pesuruhjaya Alam Sekitar, Lautan dan Perikanan merangkap Ahli Parlimen Eropah (MEP), Heidi Hautala serta Naib Presiden Parlimen Eropah dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Bernd Lange.

Pertemuan telah dijalankan secara mesra, berterus-terang dan terbuka.

Menurut CPOPC, pertemuan itu mendapat penglibatan yang positif daripada pelbagai pemimpin Suruhanjaya dan parlimen EU.

“Walaupun Indonesia dan Malaysia tidak menjangka sebarang keputusan segera yang ketara daripada semua pertemuan ini, kedua-dua pemimpin telah memberikan mesej yang jelas mengenai kepentingan EU untuk mengambil kira kehendak mereka dan pada masa yang sama membuka laluan untuk kerjasama pada masa depan.

“Perkara paling penting, terdapat keperluan untuk membuat susulan bagi memastikan perkara yang dibangkitkan mendapat perjatian dan timbal balas,.

“Indonesia dan Malaysia berpendapat perundangan EUDR ini bersifat diskriminasi dan menyusahkan sekaligus menjejaskan perdagangan antarabangsa. Pada masa yang sama menghalang usaha industri minyak sawit untuk mencapai Agenda 2030 untuk Matlamat Pembangunan Mampan (SGD),” katanya.

Menurut CPOPC perundangan EUDR perlu dicapai melalui pendekatan yang seimbang, inklusif dan bukan sekatan perdagangan

“Kedua-dua pemimpin negara percaya EU tidak sepatutnya mewujudkan gangguan perdagangan atau diskriminasi khususnya liputan produk dan layan nasional,” katanya.


Malaysia dan Indonesia perlu manfaatkan semangat serumpun 

Keakraban Malaysia dan Indonesia sudah terjalin lama, sebelum kedua-kedua negara mencapai kemerdekaan lagi. Unik dan luar biasa - saling mencintai walau juga saling melukai antara kata-kata mengambarkan hubungan kedua-dua negara yang berjiran ini. 

Konfrontasi Indonesia - Malaysia 1963 hingga 1966 menjadi titik hitam dalam sejarah hubungan kedua-dua negara jiran tetangga ini. Presiden Sukarno melancarkan slogan ‘Ganyang Malaysia!’ sebagai bantahan penubuhan Malaysia pada 1963. Indonesia bertindak melancarkan serangan ketenteraan di Tanah Melayu, persempadanan Sabah dan Sarawak. Ramai yang terkorban termasuk orang awam.

Hari ini selepas 60 tahun, hubungan Indonesia dan Malaysia begitu akrab walaupun ada kalanya mengalami pasang surut. Keakraban ini jika dimanfaatkan sepenuhnya 
dapat memberikan kekuatan kepada kedua-dua negara, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan ekonomi bersama.

Tindakan EU mendiskriminasi dan melancarkan lobi antiminyak sawit ketika ini perlu diperangi berhabis-habisan. Pemimpin di peringkat Putrajaya dan Jakarta harus bergabung tenaga, meletakkan kepercayaan total untuk mencari penyelesaian terbaik dalam melindungi nasib pekebun-pekebun kecil.

Justeru, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lama selepas dilantik sebagai Perdana Menteri terus melakukan kunjungan hormat kepada Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) sebagai usaha untuk ‘membuang apa-apa yang keruh dan ambil yang jernih’ sebelum ini.

Menurut Anwar, Malaysia di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan mahu menghindari isu-isu yang boleh merenggangkan dan meretakkan sebaliknya mahu hubungan kedua-dua negara itu berada dalam kategori istimewa.

Pada Januari, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia dan Indonesia boleh dikatakan mempunyai hubungan istimewa berbanding negara lain di ASEAN. 

“Kita berkongsi ikatan sejarah, budaya, kulinari dan bahasa berusia ribuan tahun. Namun, kepentingan Indonesia bukan hanya berdasarkan kisah silam tetapi juga masa kini.

“Ia adalah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan sumber pelaburan langsung asing (FDI) ketiga terbesar dalam ASEAN. Jumlah perdagangan adalah kira-kira AS$238 bilion (RM1.04 trilion) pada 2021, pertumbuhan 45.5 peratus tahun ke tahun berbanding 2020. 

“Dengan pembukaan semula sempadan kita pada 2022, jumlah perdagangan 2022 mungkin akan tumbuh melebihi 30 peratus tahun ke tahun. Dari Januari hingga November 2022, perdagangan dua hala kita sudah melebihi AS$27 bilion (RM117.7 bilion), 33 peratus lebih tinggi daripada 2021,” katanya.
Next Post Previous Post