Seleweng Dana Penjana, 47 Pengarah Syarikat Ditahan

Seramai 47 orang pengarah syarikat telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di seluruh negara menerusi Op Hire 2.0.

Ops Hire 2.0 ini ialah operasi bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan hasil tuntutan palsu yang dibuat oleh pengarah-pengarah syarikat menerusi program insentif pengambilan pekerja dan program latihan (PENJANA).

Kesemua yang ditahan berusia antara 30 hingga 70 tahun merupakan pengarah syarikat yang telah mengemukakan tuntutan yang kononnya telah mengendalikan program pengambilan dan latihan pekerja kepada pihak PERKESO. Namun ianya tidak dilaksanakan sebagaimana tuntutan.

Tangkapan ke atas 47 orang yang terdiri daripada 14 wanita dan 33 lelaki dilakukan SPRM sejak petang semalam.

Menurut sumber, jumlah tuntutan yang terlibat adalah antara RM450,000 hingga RM2 juta. Op Hire 2.0 ini adalah lanjutan daripada Op Hire 1.0 yang dilaksanakan pada 2022 yang lalu. Ianya dilaksanakan di seluruh negara dengan kerjasama PERKESO dan SPRM.

Kesemua 47 orang yang ditahan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di seluruh negara pada hari ini untuk permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah. 

Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan dan kes disiasat di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan seksyen 471 Kanun Kesiksaan.

Dalam Op Hire 1.0 sebelum ini seramai 74 orang daripada 60 syarikat telah ditahan dengan melibatkan tuntutan palsu bernilai RM88 juta. 52 orang telah didakwa di Mahkamah.

Menurutnya, tindakan tegas SPRM ini adalah bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan yang dilihat sebagai isu yang serius. 

SPRM telah mengenalpasti ratusan syarikat lain yang telah membuat tuntutan palsu ini dan akan meneruskan operasi ini bagi menahan semua yang terlibat. 

Justeru, beliau menggesa mana-mana syarikat yang terlibat untuk tampil secara sukarela menyerahkan semula tuntutan yang telah dibuat bagi mengelakkan pertuduhan di Mahkamah. 

"Kita telah kenalpasti nama dan senarai pemilik syarikat yang terlibat. Bagi tujuan mendapatkan semula kesemua tuntutan palsu terbabit, saya memberi amaran kepada semua untuk tampil segera sebelum SPRM mengetuk pintu pejabat syarikat-syarikat terlibat.

"Saya memberi jaminan bahawa sesiapa yang terlibat untuk tampil secara sukarela dan menyerahkan semula tuntutan-tuntutan yang telah dibuat, tidak akan dipertuduh di Mahkamah. Bagi mereka yang masih berdegil maka mereka akan dikenakan tindakan yang lebih serius," tegas beliau.
Next Post Previous Post