Rugi RM1.5 juta akibat kemaruk bercinta kenalan Facebook

KUCHING-- Akibat kemaruk cinta kenalan Facebook, seorang wanita warga emas rugi RM1.5 juta setelah diperdaya kekasih alam mayanya itu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata mangsa berusia 66 tahun, bekerja sebagai pengarah di sebuah syarikat hartanah berkenalan dengan suspek pada awal April lalu itu tampil membuat laporan polis berhubung kes tersebut semalam. 

"Mangsa memberitahu sebelum ini pada awal bulan April 2023 telah berkenalan melalui Facebook dengan seorang lelaki warganegara Singapura yang bekerja di Hong Kong.

"Setelah berkenalan lebih kurang seminggu, menggunakan mesej
melalui aplikasi Whatsapp, mangsa telah dilamun cinta dengan kenalannya itu.

"Kenalannya itu kemudiannya telah mengajak mangsa untuk mengikutinya dalam satu pelaburan perniagaan di TikTok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azman, mangsa berminat untuk menyertai pelaburan tersebut kerana dijanjikan pulangan yang tinggi daripada jumlah pelaburan. 

"Mangsa yang bersetuju dan kemudian diminta untuk memindahkan wang bagi memulakan perniagaan tersebut.

"Di antara tarikh 14 April 2023 sehingga 29 Mei 2023 mangsa telah membuat 185 transaksi pembayaran kepada 21 akaun bank yang berbeza dengan jumlah
keseluruhan pembayaran sebanyak RM1.5 juta," dedahnya.

Jelasnya lagi, mangsa tidak pernah mendapat keuntungan hasil pelaburan tersebut dan sedar dirinya ditipu setelah suspek masih lagi meminta wang daripadanya.

Tegas beliau, siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan.

Next Post Previous Post