Proton Saga rempuh lori, lima beranak maut

Kampar -- Lima beranak terkorban dalam satu nahas di Kilometer 310.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, Muhammad Fawwaz Nasaruddin, 7, meninggal dunia jam 9.20 pagi tadi selepas kritikal ketika dirawat di Hospital Tapah.

Beliau berkata, empat lagi mangsa yang maut dalam nahas itu ialah Azriyani Abdul Latif, 45, serta tiga anaknya, Muhammad Azib Nasaruddin, 23, Siti Nur Aminah Nasaruddin, 8, dan Ahmad Uwais Al Qorni Nasaruddin, 5, yang kesemuanya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Muhammad Fawwaz mengalami kecederaan di kepala dan dirawat di Hospital Tapah.

Mohamad Nazri berkata, siasatan awal mendapati nahas jam 2.27 pagi tadi membabitkan Proton Saga dinaiki lima beranak itu yang dipandu oleh Muhammad Azib dengan sebuah lori.

Katanya, kereta dinaiki lima beranak itu melanggar bahagian belakang lori di lorong kiri.

Sementara itu, sepupu kepada Azriyani, Nur Haniza Abdul Hamid, 36, ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kampar, di sini, berkata, lima beranak itu dalam perjalanan dari kediaman mereka di Kuala Kangsar menuju Tapah Road, Tapah untuk menjaga ibu Azriyani.

"Bapa kepada Azriyani dimasukkan ke Hospital Tapah jadi arwah pulang ke kampung bersama anaknya untuk menemani ibu di rumah. Memang kebiasaan Azriyani bersama adik-beradiknya yang lain bergilir menjaga ibu bapanya di kampung," katanya.
Next Post Previous Post