Pelajar tingkatan satu SMK Julau maut kemalangan

JULAU--Seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Julau maut selepas motosikal yang dibonceng bersama bapanya kemalangan kendiri di Kilometer 502.2 Jalan KJD, Julau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari itu, mangsa Alexen Banyan,13, meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala bapanya yang menunggang motosikal berusia 35 tahun cedera parah di bahagian tangan dan kaki kanan. 

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Andam Sulin berkata, motosikal Honda Wave Alpha yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan terjatuh selepas melanggar pembahagi jalan.

“Pembonceng motosikal iaitu anak kepada 
penunggang telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Sarikei. 

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Julau, Inspektor Mohamad Azri Mohd Azhar di talian 012-9059549.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post