Pekerja Sarawak Energy meninggal dunia selepas pengsan

SIBU--Seorang pekerja Sarawak Energy meninggal dunia selepas pengsan di dalam hutan ketika melakukan kerja penyelenggaraan dan pembersihan pencawang elektrik milik syarikat itu di Jalan Paradom/Tanjung Genting Bintangor di sini, semalam.

Difahamkan sebelum kejadian lelaki berusia 52 tahun itu berendam di dalam sungai di kawasan berhampiran ketika cuaca panas terik.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, Balai Polis Lanang menerima laporan berhubung kes itu dari pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada jam 3.15 petang.

"Mangsa bersama beberapa orang rakan sekerja Sarawak Energy ditugaskan untuk menyelenggara dan membuat pembersihan pencawang letrik di kawasan terbabit.

"Menurut saksi yang juga rakan sekerja,
ketika kejadian cuaca panas terik, mangsa telah masuk dan berendam ke dalam sungai berhampiran pencawang letrik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, selepas berendam mangsa mengadu seakan mahu pitam dan terus pengsan. 

"Mangsa telah disahkan meninggal dunia pada jam 4.59 petang oleh pasukan perubatan Hospital Sibu. 

"Mayat mangsa telah dihantar ke rumah mayat Hospital Sibu untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
Next Post Previous Post