Pelajar saman guru untuk beri kesedaran

KOTA KINABALU: Seorang bekas pelajar yang menyaman gurunya memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, beliau berharap tindakan undang-undang yang diambil terhadap guru Bahasa Inggeris yang didakwa tidak hadir ke kelas selama tujuh bulan, akan membuka mata guru lain supaya tidak mengabaikan pendidikan pelajar mereka.

Siti Nafirah Siman, 23, yang juga plaintif dalam kes itu, memberitahu mahkamah dalam nada teresak-esak, bahawa tindakannya akan membuatkan sesetengah guru sedar bahawa mereka tidak seharusnya mengabaikan dan memandang rendah golongan bawahan.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Kota Belud itu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan peguamnya, Shireen Sikayun pada hari pertama perbicaraan.

"Saya katakan apa yang berlaku seperti mimpi. Saya harap apa yang saya lakukan ini akan menyedarkan sesetengah guru bahawa mereka tidak sepatutnya mengabaikan dan memandang rendah golongan bawahan serta memberikan mereka tahap pendidikan sama seperti diberikan kepada golongan atasan, itu sahaja," katanya di hadapan Hakim Datuk Ismail Brahim.

Dalam saman difailkan pada 30 Oktober 2018, Siti Nafirah menamakan bekas gurunya, Mohd Jainal Jamrin sebagai defendan pertama kes samannya itu.

Selain itu, Pengetua SMK Taun Gusi, Suid Hanapi; Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud; Pengarah Pendidikan Sabah; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia; Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia, masing-masing sebagai defendan kedua, ketiga, keempat dan kelima.

Siti Nafirah antara lain mendakwa, guru itu gagal hadir ke kelas untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris di Tingkatan 4 selama tujuh bulan pada 2015.

Ditanya kerugian dialami akibat kegagalan defendan pertama hadir mengajar, Siti Nafirah berkata, beliau tidak mendapat pendidikan yang baik ketika itu.

Kedua, dia terpaksa membahagikan masa untuk mempelajari sukatan pelajaran Tingkatan 4 semasa di Tingkatan 5 dan ketiga, dia berasakan peluangnya untuk mendapat pekerjaan yang baik semakin berkurangan.

Siti Nafirah berkata, buku kawalan kelas boleh membuktikan bahawa guru memasuki kelas untuk mengajar.

Peguam: Tolong beritahu mahkamah apa yang cikgu buat dengan buka kawalan kelas apabila mereka masuk untuk mengajar?

Siti Nafirah: Cikgu yang datang mengajar akan menandatangani buku sebelum sesi kelas tamat.

Peguam: Pernahkah anda melihat buku kawalan?

Siti Nafirah: Ya.

Peguam: Apakah yang anda perhatikan dengan buku kawalan itu dalam ruangan tandatangan untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris?

Siti Nafirah: Dari Januari hingga Februari 2015, Sir JJ (Jainal) sentiasa menandatanganinya sebelum meninggalkan kelas tetapi pada penghujung Februari dan awal Mac sehingga seminggu sebelum peperiksaan akhir, ruang tandatangan untuk Sir JJ kosong.

Dalam prosiding itu, Siti Nafirah berkata, buku kawalan bagi Kelas 4PD disimpan pihak sekolah dan permintaannya daripada defendan melalui peguamnya sehingga kini belum diterima.

Peguam: Bilakah anda menyedari bahawa perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap defendan untuk apa yang berlaku pada 2015?

Siti Nafirah: Ketika kami sedang membuat persiapan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Tingkatan 5. Saya dan rakan-rakan berbincang bahawa kami tertekan kerana terpaksa membahagikan masa untuk mempelajari semula sukatan pelajaran Tingkatan 4 dengan sendiri dan pada masa sama, kami terpaksa mengambil tuisyen tambahan.

Peguam: Mengapa anda tidak membuat aduan rasmi mengenai defendan pertama kepada defendan kedua?

Siti Nafirah: Saya tidak tahu macam mana nak buat surat rasmi mengadu kepada pengetua.

Menjelas lanjut, Siti Nafirah mendedahkan, bahawa pengetua memintanya dan rakan sekelas menulis esei memohon maaf serta menulis perkara baik mengenai Sir JJ supaya guru itu mengajar semula sedangkan kandungan itu tidak benar.

Peguam: Mengapa kamu menulis perkara yang tidak benar dalam karangan?

Siti Nafirah: Kami terdesak. Kami memerlukan guru Bahasa Inggeris kerana ketika itu kami akan menduduki peperiksaan akhir.

Sumber: Laporan dan Gambar Berita Harian
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.