PDRM Sarawak pantau kawasan panas

Polis Sarawak lancar Op Khas Gawai bermula 29 Mei hingga 5 Jun

Pasang rapat... Datuk Mancha memasangkan topi keledar di kepala seorang penghantar makanan


KUCHING-- Polis Sarawak melancarkan Operasi Khas sempena Sambutan Perayaan Hari Gawai Dayak 2023 selama lapan hari bermula 29 Mei hingga 5 Jun 2023.


Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Dato Mancha Ata berkata, terutama di kawasan kawasan "panas" yang dijangka akan berlaku kesesakan aliran lalu lintas. 

Senyum sikit... KPD Kuching ACP Ahsmon memakaikan topi keledar kepada seorang penunggang motosikal.


"Sehubungan itu, sebagaimana perayaan Hari Raya Aidilfitri yang lepas, sempena perayaan Gawai Dayak tahun ini, kita juga meneruskan op khas yang akan berlangsung selama lapan hari bermula pada 29 mei hingga 05 jun 2023 terutama di kawasan kawasan hotspot yang dijangka akan berlaku kesesakan aliran lalulintas. 


"Petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di lokasi lokasi yang telah dikenal pasti bagi memastikan aliran trafik lancar dan terkawal.

Ini baru betul... KPD Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad membantu seorang penunggang motosikal menggunakan helmet dengan betul.


"Sebagaimana operasi yang lepas, kita masih menggunakan pendekatan 'penyuraian kesesakan' sebaik sahaja operasi dilancarkan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena perayaan Hari Gawai Dayak 2023 di Farley Mall Batu 6, di sini hari ini.


Dalam masa yang sama, Mancha berkata, pendekatan advokasi kepada masyarakat masih dikekalkan di mana flyers serta peringatan awal kepada masyarakat berhubung tindakan yang akan dilaksanakan, telah diedarkan kepada pengguna jalan raya oleh cawangan trafik di daerah-daerah melalui jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kilang-kilang dan tempat-tempat ibadat.


Selain aspek keselamatan di jalan raya, beliau memberitahu keselamatan premis dan rumah yang ditinggalkan juga masih menjadi fokus utama setiap kali operasi diadakan. 


"Oleh demikian, saya juga menyeru kepada semua pihak yang akan pulang ke kampung halaman untuk memastikan keselamatan rumah masing-masing dijaga. 


"Berpesan-pesanlah sesama jiran dan jangan lupa memaklumkan kepulangan anda ke kampung kepada balai polis berdekatan melalui borang balik kampung yang boleh dimuat turun daripada portal rasmi PDRM dan makluman melalui aplikasi vsp (volunteer smart phone) yang boleh di muatnaik dengan menggunakan 'playstore' atau 'app store' di dalam telefon pintar. 


"PDRM Sarawak juga mengalu-alukan sebarang info dan maklumat berkaitan kemalangan atau kesesakan luar biasa daripada semua pengguna jalan raya dengan menghubungi mana-mana Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah berdekatan yang bertugas 24 jam settap hari," ujarnya.



Next Post Previous Post