Pantang ajal sebelum maut
3 cedera, pikap dinaiki terjunam 30 meter dalam gaung
BINTANGOR--Tiga cedera selepas pikap dinaiki terjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter di Jalan Ulu Mujuk Julau di sini, kelmarin.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 11.08 malam dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor ke lokasi kejadian.
"Jarak ke lokasi dianggarkan 130 kilometer melalui laluan balak.
"Anggota bomba telah melakukan operasi penyelamatan dengan membawa tiga orang mangsa berusia 21 hingga 54 tahun yang terlibat dalam kemalangan ke tempat yang selamat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, tiga orang mangsa lelaki dewasa dalam keadaan sedar serta mengalami kecederaan ringan telah diberi rawatan awal oleh Unit EMRS dari BBP Sarikei.
Seterusnya kesemua mangsa telah dibawa ke Klinik Julau dengan menggunakan jentera EMRS bagi mendapatkan tindakan rawatan susulan.