Op Selamat Aidilfitri 2023: 457 kes kemalangan, sembilan maut

KUCHING-- Sebanyak 457 kes kemalangan jalan raya dengan sembilan kes kemalangan maut direkodkan sepanjang lapan hari pelaksanaan Op Selamat ke-20 sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 yang bermula 20 April lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad berkata jumlah ini telah menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas iaitu 453 kes pada Op Selamat 18/2022.

"Peningkatan ini sebanyak 4 kes atau bersamaan 0.9 peratus.

"Dari segi jumlah kes kemalangan maut pula, sebanyak sembilan kes kemalangan maut direkodkan sepanjang tempoh pelaksanaan Op Selamat 20/2023 berbanding lapan kes pada Op Selamat 18/2022 iaitu meningkat satu kes atau 12.5 peratus,"katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara jumlah kematian pula katanya, adalah sama iaitu masing- masing merekodkan sembilan kematian pada Op Selamat 20/2023 dan juga sembilan kematian pada Op Selamat 18/2022.

Mengulas lanjut, Mohd Azman berkata, antara faktor peningkatan jumlah kemalangan yang berlaku sepanjang tempoh Op Selamat 20/2023 ini adalah faktor kecuaian manusia semasa memandu, faktor permukaan jalanraya serta berpunca daripada kenderaan yang di pandu tidak diselenggara dengan baik sebelum digunakan. 

Selain itu, katanya penambahan lebih kurang sebanyak 1,169,722 kenderaan yang menggunakan jalan raya di seluruh Sarawak sepanjang tempoh Op Selamat 20/2023 berbanding 1,139,356 kenderaan atau peningkatan lebih kurang 30,000 atau (+2.7%) pada Op Selamat 18/2022 turut menyumbang kepada jumlah kemalangan jalan raya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu PDRM Sarawak telah mengeluarkan sebanyak 2,014 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas pada Op Selamat 20/2023.

Tegasnya, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 74.7 peratus yang mana tahun lepas sebanyak 5,942 saman dikeluarkan.

Tambahnya lagi, pengurangan pengeluaran saman bagi Op Selamat 20/2023 kali ini adalah untuk memberi tumpuan perkhidmatan kepada pengguna jalan raya dalam kelancaran lalu lintas, namun penguatkuasaan secara bersasar terhadap kesalahan yang boleh menyebabkan kemalangan jalanraya tetap dilaksanakan.

"Secara keseluruhannya, Op Selamat 20/2023 PDRM Kontinjen Sarawak telah berjaya merangka strategi merangkumi Op Lancar dan Omnipressense, Show of Force, Enforcement by Objective serta advokasi nilai murni dalam memastikan respon penyuraian aliran trafik dijalankan selain memantau trend lalulintas di lokasi yang sering berlaku kemalangan maut.

"Oleh itu, PDRM menasihatkan kepada semua pengguna jalanraya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta mematuhi arahan daripada anggota penguatkuasa yang bertugas di jalanraya terutamanya menjelang musim perayaan," ujarnya.

Sehubungan itu beliau menyeru semua pengguna jalan raya supaya bersama-sama menjaga keselamatan diri dan orang yang disayangi ketika berada di atas jalan raya.
Next Post Previous Post