Mayat lelaki dibaham buaya dijumpai dalam keadaan sempurna

LAWAS-- Mayat milik seorang lelaki yang dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya di Sungai Patarikan, Merapok di sini dijumpai hari ini dalam keadaan sempurna, 1 kilometer dari lokasi mangsa dibaham buaya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Yambuna Yading, 51, dijumpai terapung sekirarvjam 9.53 pagi tadi.

"Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) diteruskan dengan kaedah mencari di permukaan air dengan menggunakan peralatan mencari mangsa sekitar jam 8.30 pagi.

"Pada jam 9.53 pagi mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terapung dengan bentuk fizikal sempurna oleh anggota Bomba dalam radius 1km dari tempat mangsa dibaham buaya.

"Mangsa tiba di Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB) pada jam 10.09 pagi dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, bomba bertolak balik ke balai setelah mengambil maklumat dan proses penyerahan mangsa kepada polis.

Operasi ditamatkan pada jam 10.40 pagi.

Semalam, PGO JBPM Sarawak menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 7.30 malam.

Difahamkan pada jam 5.30 petang, mangsa dikatakan pergi memancing bersama menantu dan birasnya. 

Mangsa kemudian dipercayai disambar buaya semasa memancing dan terus dibawa ke dalam sungai, yang disaksikan oleh menantu dan birasnya. 
Next Post Previous Post