Kerana tak hormat senior, pelajar cedera dibelasah

PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat kes seorang pelajar yang dibelasah sekumpulan senior hingga mengalami beberapa kecederaan di muka dan kepala, dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Taman Melawati, Isnin lalu.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila mangsa didakwa tidak menghormati sekumpulan pelajar tingkatan 5 sekolah terbabit.

Menurut Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, pada awalnya mangsa ditumbuk di bahagian dada kiri, dicekik dan ditendang bahagian belakang badan oleh seorang pelajar dikenalinya ketika berada di tangga sekolah, kira-kira 9.30 pagi.

“Mangsa turut diugut akan disiku bahagian muka sekiranya tidak berjumpa di Anjung Selera. Selepas itu, terdapat lima suspek mengajak mangsa ke Bukit Mar Mar Kemensah, lalu dipukul.

“Mangsa mengalami kecederaan bahagian dahi kepala, luka di bahagian tepi kening kiri, rahang di bahagian muka kiri serta belakang tengkuk mengalami kesakitan dan bengkak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, salah seorang suspek menumbuk muka mangsa sebanyak empat kali dan kejadian itu dilihat oleh kira-kira 10 hingga 15 pelajar.

Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tular satu video dikongsi warganet di Instagram yang memaparkan seorang pelajar teruk dipukul sekumpulan pelajar lain sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Sumber: Laporan Free Malaysia Today dan Gambar Tangkap Layar Video Viral. 
Next Post Previous Post