Disyaki pukul mati adik perempuan, abang ditahan

Kota Kinabalu -- Seorang lelaki ditahan kerana disyaki memukul mati adik perempuannya dalam kejadian di sebuah kediaman di Jalan Signal Hill, Kota Kinabalu.

Mangsa berusia 25 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan luka teruk dan berdarah di muka oleh ayah mereka, pada 4 Mei, 4.30 petang.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada Sabtu di Hospital Queen Elizabeth II selepas beberapa hari menerima rawatan.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu Kalsom Idris, berkata susulan itu polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun iaitu abang kepada mangsa.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai dilakukan oleh abang mangsa kerana mengikut keterangan daripada keluarga, ketika kejadian hanya mangsa bersama abangnya sahaja berada di rumah.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan di antara kedua-dua beradik terbabit kerana mangsa dan suspek sering bergaduh.

“Namun motif kejadian pergaduhan itu belum dapati dipasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya menurut Harian Metro.

Kalsom berkata, tiada senjata ditemui di lokasi kejadian, namun polis merampas dua bentuk cincin dipakai suspek.

“Mangsa yang menerima rawatan akibat parah di HQE II disahkan meninggal dunia jam 10.30 malam, Sabtu lalu.

“Suspek kini direman dan ujian air kencing mendapati suspek negatif terhadap dadah,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: Laporan Free Malaysia Today dan Gambar hiasan 
Next Post Previous Post