Kebakaran kereta di Taman Banquet angkara khianat, polis buru 2 suspek

KUCHING--Pihak polis mengesahkan kebakaran kereta di hadapan sebuah rumah seorang peniaga beg di Jalan Tondong, Taman Banquet Square, Batu Kawa, di sini, awal pagi tadi angkara kes khianat.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, berdasarkan rakaman Kamera Litar Tertutup(CCTV) terdapat dua suspek lelaki terlibat menggunakan 
kenderaan disyaki jenis Naza Citra, bagaimanapun nombor pendaftaran tidak dapat dilihat dengan jelas.

"Suspek pertama adalah seorang lelaki yang keluar daripada kenderaan sebelah penumpang hadapan, anggaran ketinggian dalam lingkungan 160-170 cm. 

"Suspek memakai penutup muka warna hitam, berpakaian warna gelap dan bertopi warna hitam manakala suspek kedua ialah pemandu kereta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, seorang suspek telah keluar daripada bahagian hadapan penumpang sebelah kiri memakai topi dan penutup muka telah menyalakan sumbu dan kemudian membaling botol yang telah dinyalakan api ke arah kereta mangsa menyebabkan kereta mangsa terbakar. 

"Mangsa berusia 53 tahun tidak mengetahui motif dan punca kejadian kerana tidak pernah berhutang atau bermusuh dengan sesiapa. 

"Anggaran kerugian yang dialami kira-kira RM4,000," ujarnya.

Katanya, ketika kejadian jam 3.20 pagi itu mangsa sedang tidur di rumah dan dikejutkan dengan bunyi seperti letupan dari luar rumah. 

"Mangsa bergegas bangun dan keluar untuk melihat kejadian. Apabila sampai di luar rumah, mangsa mendapati bahagian belakang kereta miliknya jenis Toyota Vios sedang terbakar. 

"Kebakaran telah berjaya dikawal oleh pihak Bomba yang dipanggil ke lokasi. Namun demikian, kebakaran telah menjejaskan bahagian belakang kereta pengadu tersebut," jelasnya.

Menurutnya lagi, ketika kejadian berlaku, pengadu bersama isteri dan dua anak perempuan berada di dalam rumah.

"Kesemua mereka menafikan ada terlibat dengan masalah di luar. Mereka juga menafikan ada masalah hutang atau selisih faham dengan mana mana pihak yang lain.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," tegasnya.
Next Post Previous Post