Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching tugaskan Pasukan Khas Tindakan Kecemasan terdiri 100 orang polis sepanjang 8 hari musim perayaan

KUCHING-- Seramai 100 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuching ditugaskan sepanjang Op Selamat Ke-20 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri selama lapan hari bermula hari ini. 

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, objektif utama operasi ini adalah memberi tumpuan kepada kelancaran lalu lintas, pencegahan kemalangan jalan raya serta kes pecah rumah. 

"Untuk itu, seramai 20 pegawai dan 80 anggota dari semua elemen Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching akan di atur gerak dalam operasi ini," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambahnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik telah mewujudkan Emergency Respone Team. 

Jelas Ahsmon, pasukan itu akan memantau serta mengambil tindakan segera sekiranya berlaku kesesakan di lokasi yang menjadi tumpuan ramai. 

Selain itu, katanya pasukan ini juga akan mengambil tindakan segera jika berlaku kesesakan di sekitar pusat-pusat membeli belah serta laluan utama seperti Jalan Kuching Samarahan Eskpresway, Jalan Tun Jugah, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Tun Razak, Jalan Satok, Jalan Lapangan Terbang, Jalan Gambier dan Jalan Main Bazaar.

"Bagi mereka yang meninggalkan rumah untuk menyambut hari raya di kampung halaman atau bercuti keluar daerah adalah dinasihatkan supaya mengisi borang pemakluman balik kampung yang boleh didapati di balai polis terdekat atau secara online iaitu melalui aplikasi vsp dan melalui link di facebook IPD Kuching," ujarnya.
Next Post Previous Post