Guna wang ibu bayar hutang judi kepada Ah Long, lelaki buat laporan palsu dirompak

KUCHING-- Gara-gara menggunakan wang ibunya berjumlah RM3,200 yang sepatutnya dikirim kepada nenek untuk membuat rumah di kampung bagi membayar hutang pinjaman Ah Long dan hutang judi, seorang pekerja kilang membuat laporan polis palsu menjadi mangsa rompak.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 20 tahun membuat laporan polis berhubung kes itu jam 8.39 malam tadi.

"Dalam laporannya suspek memberitahu pada jam 7.45 malam ketika berada di jalan Batu Kawa Moyan Berdekatan Taman Sri Moyan Kuching, semasa sedang menunggang motosikal tiba-tiba telah dihalang oleh dua orang lelaki tidak dikenali menggunakan sebuah motosikal tanpa nombor pendaftaran.

"Kedua-dua suspek dikatakan menggunakan topeng muka dan salah seorang menggunakan helmet penuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, suspek pertama telah menumbuknya pada bahagian perut dan menahan kedua-dua tangannya manakala suspek seorang lagi telah bertindak meletakkan parang ke leher sambil mengarahkannya untuk menyerahkan semua barang yang berada dalam beg silang berwarna hitam.

"Mereka kemudian merampas beg silang suspek dan terus melarikan diri. Akibat disamun menyebabkan suspek kehilangan telefon jenis Redmi, dokumen pengenalan diri, kunci rumah dan juga wang tunai sebanyak RM3,200.

"Hasil soal siasat semula sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan mendapati bahawa, laporan yang telah dibuat suspek adalah palsu dan direka-reka," katanya.

Beliau berkata, suspek turut menyatakan telah membuang beg dan dokumen peribadi miliknya ke Sungai Sarawak.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan," tegasnya.
Next Post Previous Post