Chiew Choon Man 赵俊文 serah cek untuk baiki bumbung sekolah dibadai ribut

MIRI— Bumbung bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau yang terjejas teruk akibat ribut kencang Isnin lalu akan diperbaiki segera bagi memastikan sesi pembelajaran yang bermula minggu hadapan tidak terjejas.

Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata beliau akan berbincang dengan pengetua sekolah pada esok hari untuk mengetahui keperluan lebih lanjut termasuk kos untuk membaiki kerosakan.

“Saya akan menyerahkan cek untuk membolehkan pihak sekolah membaiki kerosakkan dengan segera.”

“Jumlah akan ditentukan kemudian selepas kita mengetahui butiran lanjut,” katanya ketika dihubungi Borneo Network pada hari Rabu.

Petang semalam, Chiew meluangkan masa meninjau keadaan sekolah itu selepas dimaklumkan terdapat kerosakan akibat ribut kencang.

Dalam kejadian pada Isnin itu, SMK Merbau terjejas apabila bumbung di beberapa bangunan membabitkan rumah sukan dan bangunan sekolah diterbangkan angin kencang manakala pondok padang sekolah runtuh.

Ribut kencang turut menjejaskan beberapa kemudahan sekolah dan menyebabkan pokok di sekitar Permyjaya tumbang.

Chiew menambah, SMK Merbau merupakan sekolah yang mempunyai pelajar yang paling ramai di Miri iaitu kira-kira 3,200 pelajar.

“Difahamkan juga lebih daripada setengah pelajar di sekolah ini adalah berasal daripada golongan B40.”

“Pihak pengurusan sekolah juga telah memaklumkan pembangunan yang diperlukan dalam sekolah yang dapat memanfaatkan 3,200 pelajar sekolah.”

“Justeru saya akan terus memberi perhatian kepada pembangunan sekolah dan kebajikan pelajar-pelajar sekolah ini,” katanya lagi.
Next Post Previous Post