Belanja RM9 juta beli minyak urut, tiga wanita direman

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman tiga wanita kerana disyaki menyeleweng dana sebuah syarikat pusat urut terkemuka berjumlah jutaan ringgit.

Suspek-suspek berusia lingkungan 50an tersebut terdiri daripada dua pengarah syarikat pembekal minyak urut manakala seorang lagi merupakan isteri kepada bekas pengarah urusan syarikat pusat urut tersebut.

Menurut sumber, ketiga-ketiga suspek ditahan petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

Sumber menjelaskan, mereka disyaki telah mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran palsu untuk memanipulasikan syarikat antara tempoh 2017 hingga 2019. 

"Suspek dikatakan menyeleweng wang tersebut menerusi pembelian minyak urut dengan harga yang tinggi berbanding harga pasaran menerusi syarikat pembekal yang merupakan proksi mereka. Pembelian tersebut melibatkan jumlah bernilai RM9 juta.

"Akibat pembelian tersebut syarikat dikatakan mengalami kerugian anggaran RM1.8 juta," katanya.

Perintah reman selama lima hari bermula hari ini hingga 17 April 2023 dikeluarkan Majistret Puan Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, pihaknya kini sedang mengesan dua suspek utama kes berkenaan iaitu bekas Pengarah Urusan dan bekas Pegawai Kewangan syarikat pusat urut tersebut.
Next Post Previous Post