Bakal calon Baleh buat MoU dengan Persekutuan Peniaga Melayu Brunei

KUCHING-- Seorang individu dikenali sebagai Jocky Lim Ungka yang kini giat melobi untuk menjadi calon Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13) DUN Baleh mendakwa dirinya berjaya mengatur Perjanjian Pesefahaman (MoU) dengan Persekutuan Peniaga Peniaga Melayu Negara Brunei Darussalam. 

Beliau menerusi akaun Facebook Baleh Prihatin memaklumkan MoU itu bagi membolehkan petani di DUN Baleh mengeksport hasil pertanian seperti jagung manis, buah entekai, nangka dan pisang ke negara berkenaan.

"Sekarang rakyat di Baleh boleh mengusahakan tanaman buah-buahan tersebut kerana Kerajaan Brunei, Persekutuan Peniaga Peniaga Melayu Negara Brunei Darussalam sudah bersetuju untuk menerima hasil pertanian dari Baleh," katanya.

Jelasnya, inilah cara beliau untuk membantu mengangkat ekonomi dan peluang rakyat Baleh.

"Jangan tidak menggunakan peluang yang diberikan kepada kita di Baleh ini untuk meningkatkan pendapatan kita sekali gus keluar dari paras kemiskinan," tegasnya.

Tambahnya, ia merupakan antara manifestonya untuk rakyat Baleh yang telah ditunaikan sebelum menjelang PRN-13 Sarawak.

"Saya akan membuktikan kepada rakyat Baleh saya bukan bercakap kosong.

"Inilah agenda yang saya ketengahkan untuk membantu mengangkat ekonomi rakyat di DUN Baleh ini," ujarnya.

Selain MoU itu, Jocky Lim berkata, beliau bersama delegasi Baleh telah mengadakan lawatan kerja ke Brunei baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, katanya, beliau telah mengutarakan cadangan untuk mengeksport barang pertanian seperti buah dan sayur ke negara tersebut.

Katanya, semasa lawatan itu, pihaknya mengadakan kunjungan ke atas Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi dan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Darussalam Holdings Sendirian Berhad.
Next Post Previous Post