Tikam rakan sekerja guna objek tajam hingga maut, polis buru suspek

MUKAH-- Seorang pekerja ladang kelapa sawit warganegara Indonesia maut selepas ditikam rakan sekerja menggunakan objek tajam di bahagian perut dalam kejadian di sebuah rumah pekerja di daerah Dalat di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Saga Chunggat berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam di kediaman mereka dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.

"Akibat rasa tidak puas hati suspek telah menikam mangsa menggunakan objek tajam di bahagian perut sehingga cedera parah sebelum bertindak melarikan diri.

"Mangsa yang berusia lingkungan 30-an 
dikejarkan ke hospital Dalat oleh ketua sekuriti ladang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia setibanya di Wad Kecemasan oleh Pegawai Perubatan. 

"Suspek pembunuhan adalah seorang lelaki warganegara Indonesia berumur lebih kurang 51 tahun.

"Suspek telah melarikan diri selepas menikam mangsa dan masih gagal dikesan," ujarnya.

Katanya,polis telah mengklasifikasikan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat atau menjumpai suspek, boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Rahim Ramli di talian 017-4211852.
Next Post Previous Post