SK Pangkalan Kuap baharu bernilai RM33 juta mula operasi minggu depan

KUCHING: Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan Kuap baharu di Stakan yang bernilai RM33 juta akan mula beroperasi mulai Isnin ini. 

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, dengan pengoperasian sekolah baharu itu akan mengurangkan isu kepadatan murid di kawasan berkenaan. 

"Salah satu hasrat saya ialah untuk mewujudkan lebih banyak sekolah bagi menampung lebih ramai pelajar terutamanya di Kota Samarahan.

"Syukur Alhamdulillah, setakat ini kita telah berjaya wujudkan empat sekolah baharu. Antaranya ialah SK Pangkalan Kuap yang bernilai RM33 juta dan bakal beroperasi tidak lama lagi.

"Selain itu SK Pangkalan Kuap, SK Merdang yang berada di kawasan Taman Uni Garden sudah mula beroperasi pada 2021 yang mana sebelum ini beroperasi di bangunan kedai serta menumpang bangunan di SK Jalan Muara Tuang," katanya. 

Bagi perkhidmatan pendidikan menengah pula, Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata, pihaknya telah berjaya mendapatkan projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Samarahan yang terletak berhampiran Tanjung Tuang serta boleh memuatkan kira-kira 1,500 pelajar yang kini bersesak di SMK Kota Samarahan dan SMK Muara Tuang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Dato Hamzah Brahim berkata, SK Pangkalan Kuap yang mempunyai 20 tenaga pengajar akan dibuka pada sesi persekolahan 2023/2024 iaitu 20 Mac ini.

"Untuk SMK Muara Tuang pula, kita bersyukur kerana kerajaan telah meluluskan peruntukan bagi Projek Gantian Penuh iaitu melibatkan penggantian blok bangunan lama kepada blok bangunan baharu.

"Insya-Allah dengan kewujudan sekolah-sekolah baharu yang kita usahakan ini dapat memberi keselesaan kepada anak-anak kita untuk belajar dengan lebih berkesan," ujarnya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Dato Hamzah Brahim berkata, SK Pangkalan Kuap yang mempunyai 20 tenaga pengajar akan dibuka pada sesi persekolahan 2023/2024 iaitu 20 Mac ini.

“Kawasan DUN Stakan ini mempunyai kepadatan penduduk dan amat memerlukan sekolah yang baru.

“Setakat ini terdapat sembilan buah sekolah rendah dan tiga buah sekolah menengah di kawasan DUN Stakan,” katanya. 

Justeru, Hamzah memohon supaya pihak guru dan ibu bapa untuk sentiasa memberi kerjasama dan sokongan bagi memastikan anak-anak menerima pendidikan yang sempurna. 

Bagi memenuhi sistem pendidikan pada masa kini, tegasnya, para guru harus memainkan peranan di sekolah manakala ibu bapa pula berperanan di rumah termasuk luar rumah.

“Oleh itu, mari kita bekerjasama antara satu sama lain supaya anak-anak kita mendapat pendidikan sebaiknya yang menjadi kunci ke arah kejayaan mereka pada masa depan,” ujarnya.
Next Post Previous Post