Saintis kanan farmaseutikal adun resipi turun temurun bubur pedas

Bermula dengan sekadar menolong ibu, seorang bekas saintis kanan sebuah syarikat farmaseutikal kini boleh berbangga dengan usahanya mengembangkan perusahaan produk pra-campur Induk Bubur Pedas.

Awang Mohammad Izzat Al Hadi Awang Salleh atau lebih mesra dipanggil Hadi berkata, dia menceburi perusahaan itu selepas berhenti kerja di Semenanjung Malaysia dan pulang ke Sarawak pada 2020.

Hadi menambah, idea untuk memulakan perniagaan bubur pedas ini tercetus kerana kesedaran untuk mengekalkan resipi turun-temurun selain memperkenal juadah tradisional Sarawak itu kepada generasi baharu.

“Awalnya hanya sekadar menolong ibu dan mempromosikan secara kecil-kecilan pada masyarakat setempat, dan saya tidak menyangka terdapat permintaan yang tinggi pada awal musim Ramadan ketika itu.

“Sambutan sangat memberangsangkan terutama beberapa minggu sebelum memasuki bulan Ramadan dan pada awal Ramadan. Selain itu saya juga menjual dan menerima tempahan “Induk Bubur Pedas” diluar bulan puasa,” katanya ketika dihubungi Borneo Network.

Graduaan Bioteknolgi Sumber dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu berkata, setiap kali bulan Ramadan, juadah tradisional seperti bubur pedas menjadi pilihan untuk berbuka puasa. 

“Pra-campur Induk Bubur Pedas ini memudahkan penggemar di mana sahaja berada untuk memasak dan menikmati bubur pedas.

“Rasa dan aromanya yang sinonim dengan bulan Ramadan di Sarawak dapat mengubat rindu kampung halaman anak-anak Sarawak yang berada di perantauan seperti Semenanjung dan Sabah.

“Terdapat juga pelanggan yang pernah menyambung pengajian dan pernah berkhidmat di Sarawak yang telah kembali ke negeri masing-masing turut membeli produk ini untuk mengingati suasana Ramadan di sini,” katanya.

Hadi berkata, bahan induk bubur pedas ini diadun menggunakan 15 rempah-ratus dan herba terpilih antaranya kunyit hidup, lengkuas, serai, halia, jintan manis, jintan putih, ketumbar, pelaga, kayu manis, cengkih dan bunga lawang.

“Rempah dan beberapa ramuan terpilih ini akan di ‘aruk’ atau dikeringkan untuk menghasilkan induk bubur pedas yang wangi dan rasa yang enak sebagai jamuan berbuka puasa,” katanya.

Kini perusahaan itu tidak lagi terhad di Sarawak malah dijual menerusi platform media sosial utama seperti Facebook.

“Pada masa kini saya fokus menjual menerusi Facebook “Induk Bubur Pedas’ dengan pasaran sehingga ke Semenanjung Malaysia dan Sabah.

“Kami juga ada pengedar di kawasan seperti Sarikei, Sibu dan Kuching. Induk Bubur Pedas boleh didapati pada Facebook dan pengedar kami pada tanda harga serendah RM10 sepaket.

Hadi berharap dapat mempromosi dan memperluas pasaran Induk Bubur Pedas terutama di kalangan generasi muda yang belum pernah menikmati masakan asli Sarawak itu.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.