Premier Abang Jo ucap terima kasih kepada petugas banjir, Uggah rayu rakyat patuhi arahan berpindah

KUCHING— Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sudah bersiap sedia untuk menghadapi banjir di negeri ini susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah berkata, semua agensi dan jabatan kerajaan di peringkat bahagian dan daerah sudah diarahkan bersedia terutama di kawasan yang berisiko banjir.

Beliau berkata, persiapan yang dibuat adalah dari aspek kekuatan pegawai dan kakitangan, pusat pemindahan sementara (PPS) serta bantuan.

“Setakat ini kita sudah mengenal pasti beberapa kawasan kerap banjir di seluruh Sarawak. Kita sudah menyediakan PPS dan beri arahan kepada semua jabatan dan jawatankuasa di peringkat bahagian dan daerah untuk berdepan dengan kemungkinan banjir besar.

Sehingga kini hujan lebat di Sri Aman, Serian dan Kuching. Justeru kita sama-sama berjaga-jaga di seluruh negeri,” katanya kepada media selepas melawat mangsa banjir di PPS Surau Nur Hidayah Kpg Batu Kitang Jaya dan di SJKC Chung Hua Batu Kawa yang menempatkan 124 mangsa setakat malam tadi.

Uggah turut menasihatkan penduduk terjejas banjir supaya akur untuk berpindah jika diarahkan pihak berkuasa.

“Saya mohon mereka berpindah atas faktor keselamatan. Kita tak tahu sejauh mana air naik di sesuatu kawasan. Jika ada arahan berpindah, saya merayu dengar arahan demi keselamatan nyawa.

“Saya juga merayu ketua kaum dan ketua masyarakat bekerjasama untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.

Mengenai lawatan di kedua-dua PPS malam tadi, Uggah berpuas hati dengan bantuan dan kemudahan yang disediakan kepada mangsa.

“Saya mewakili Premier Sarawak berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan bekerjasama memastikan kebajikan mangsa banjir terjaga.

“Termasuk ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang yang membeli makanan untuk mangsa. Inilah satu semangat yang masih ada di Sarawak. Kita sama-sama bersedia dan mempunyai cukup pengalaman untuk menghadapi banjir,” katanya.
Next Post Previous Post