Pesara swasta didakwa pecah amanah, salah guna wang pampasan RM 155,820

Shamsuddin Abdul Razak mengaku tidak bersalah atas tuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen Bintulu hari ini.

BINTULU — Seorang pesara swasta didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan menyalahgunakan wang pampasan berjumlah RM 155,820.

Tertuduh, Shamsuddin Abdul Razak, 66, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Steve Ritikos.

Mengikut kertas pertuduhan, pada sekitar tahun 2019,  Shamsuddin menyalahgunakan wang pampasan berjumlah RM 155,820 yang diterima dari Penguasa Tanah dan Survei Bintulu sebagai pampasan kepada Komuniti Melayu Kampung Melayu Tubau di atas pengambilan balik tanah berstatus Native Communal Reserve oleh Kerajaan Negeri bagi Projek Pembesaran Kampung Melayu Tubau.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abdul Latif, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Tertuduh kemudian mohon dibicarakan. 

Mahkamah menetapkan 10 April depan untuk sebutan semula kes.
Next Post Previous Post