Mercun, bunga api dijual tanpa permit bernilai RM80,000 dirampas

KUCHING--Polis merampas mercun dan bunga api yang dijual tanpa permit yang sah di pekarangan tempat letak kereta di kawasan Bandar Baru Semariang di sini, semalam.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, rampasan dilakukan Pasukan Khas Polis Daerah Kuching pada jam 4 petang. 

"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM80,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dalam operasi itu pihak polis telah membuat tangkapan ke atas suspek, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya," tegasnya.

Beliau berkata, peniaga atau individu haruslah mempunyai permit untuk menjual mercun atau bunga api.
Next Post Previous Post