Kesalinghubungan jalan utama di Sarawak-Brunei antara perkara utama dibincangkan- Awang Tengah

KUCHING-- Isu kesalinghubungan jalan raya Sarawak dan Brunei Darussalam antara perkara utama yang dibincangkan semasa kunjungan rasmi kerajaan Sarawak ke negara itu baru-baru ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan 

Jelasnya, semasa kunjungan dan mesyuarat dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Darussalam Dato Seri Setia Awang Erywan Pehin Datu Pekema Jaya Mohd Yusof di Brunei Darussalam pada 22 Mac lalu, beliau telah memberi taklimat berhubung perkara tersebut.

"Kita telahpun memberi taklimat tentang cadangan kita untuk meneruskan Pan Borneo yang dibatalkan oleh Pakatan Harapan (PH) dahulu kepada mereka (Brunei) yang mana ini kita akan teruskan projek ini di bawah jajaran jalan pesisir utara dengan kerjasama negara Brunei

"Mereka perlu diberi penerangan supaya kita dapat kerjasama dengan mereka seperti yang kita persetujui semasa Pan Borneo yang melalui Brunei yang telah dibatalkan PH dulu.

"Kita juga menerangkan keseluruhan kesalinghubungan jalan raya termasuk jalan utama Sarawak," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran peringkat Negeri Sarawak 1444 Hijrah/2023 di wisma Sumber Alam di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Awang Tengah menjelaskan, semasa pertemuan itu juga beliau telah memberi taklimat berhubung cadangan kerajaan Sarawak untuk membina lapangan terbang baharu di Lawas dan cadangan membina pelabuhan.

Selain itu, Awang Tengah memberitahu Sarawak bersedia untuk membekalkan tenaga boleh diperbaharui kepada Brunei.

"Kalau mereka perlu kita bersedia untuk mebekalkan tenaga boleh diperbaharui kepada Brunei," tambahnya.

Terdahulu, Awang Tengah berkata, Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran peringkat Negeri Sarawak akan diadakan di Masjid Besar Darul Makmur Lawas pada 7 April ini bertemakan Sarawak Maju Makmur.

Majlis itu dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Ragard Kurdi Taib.

Hadir sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang.

Selain itu, beliau memberitahu, tetamu kenamaan dari Brunei dan Sabah juga dijangka akan hadir pada majlis tersebut.

Tambahnya, pelbagai acara sampingan juga diadakan sempena majlis itu nanti seperti ceramah Ramadan, Bicara Ramadan Masyarakat Madani dan sebagainya.
Next Post Previous Post