Hasil bantuan DAP Sarawak wang RM1 juta Lee dikembalikan semula

KUCHING-- Hasil bantuan Parti Tindakan Demokratik (DAP), wang simpanan RM1 juta seorang ahli perniagaan yang dikenali Lee hilang dalam bank dipercayai dilakukan sindiket penipuan Ahad lalu berjaya dikembalikan semula.

Pembantu khas Pengerusi DAP Sarawak, Michael Kong Feng Nian 江峰年 berkata, pihaknya telah berjaya membantu Lee mendapatkan semula wangnya yang dikeluarkan tanpa disedari daripada akaun Maybank miliknya.

"Kita menemani mangsa ke Maybank dan Celcom (akaun penerima pindahan) untuk mendapatkan wangnya. 

"Semalam wang RM1 jutanya dipulangkan oleh Celcom dan dikreditkan ke dalam akaun Maybanknya semula," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menghargai
maklum balas segera Maybank untuk menangani masalah Lee. 

"Bagaimanapun, hakikat bahawa jumlah yang besar itu boleh dipindahkan daripada akaun seseorang tanpa pengetahuan pemegang akaun menunjukkan dengan jelas bahawa memang terdapat kecacatan keselamatan dalam sistem bank. 

"Saya berharap ini menjadi pengajaran kepada bank (dan semua bank lain) dan tindakan tegas diambil untuk menyediakan keselamatan yang lebih baik untuk pelanggan mereka," jelasnya.

Namun begitu, katanya, masih terdapat banyak persoalan yang belum terjawab seperti bagaimanakah transaksi besar itu boleh berlaku? 

"Adalah tidak biasa untuk melihat RM500,000 dipindahkan dari akaun simpanan peribadi seseorang kerana terdapat had pemindahan yang ditetapkan untuk melindungi daripada transaksi sedemikian. 

"Pada masa yang sama, bagaimanakah pemindahan boleh berlaku apabila tiada OTP atau pemberitahuan dihantar kepada Lee," katanya.

Menurutnya, persoalan itu akan terus dikemukakan kepada kerajaan dan Kementerian Kewangan. 

"Pengerusi DAP, Chong Chieng Jen telah dimaklumkan mengenai perkembangan terkini. 

Beliau tetap akan membangkitkan perkara ini di Parlimen dan mendesak jawapan daripada pihak berkaitan.

"Ini adalah pengakhiran yang menggembirakan untuk Lee tetapi perjuangan untuk ciri keselamatan yang lebih baik oleh bank akan diteruskan.

"Terdapat ramai pengguna lain di sana yang telah menjadi mangsa penipuan dan masih belum menerima pemulangan wang hasil simpanan yang telah dikeluarkan tanpa kebenaran," katanya.
Next Post Previous Post