Gara-gara hutang isteri muda, lelaki parah dibelasah

KUCHING-- Dua lelaki ditangkap disyaki terlibat kes mendatangkan kecederaan ke atas seorang lelaki angkara hutang isteri mudanya. 

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia 46 dan 33 tahun ditangkap pada jam 2.30 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Padawan. 

Jelasnya lagi, kedua-dua suspek ditahan di perkarangan Balai Polis Kota Sentosa, Jalan Lapangan Terbang di sini.

"Kedua-dua suspek masing-masing mempunyai tiga dan dua rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 5(2), Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951," katanya menerusi kenyataan media hari ini. 

Tegasnya, kedua-dua suspek ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. 

"Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika disabitkan dengan kesalahan," ujarnya. 

Tambahnya, kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Daerah Samarahan.

"Kesemua tangkapan akan direman pada esok hari (30 Mac 2023) dan akan menjalani ujian saringan air kencing setelah tempoh reman diperolehi," tegasnya. 

Terdahulu, seorang lelaki berusia 42 tahun tampil membuat laporan polis selepas dibelasah dua lelaki kerana hutang isterinya. 

Kata Abang Zainal, mangsa mendakwa kejadian itu berlaku di hadapan sebuah surau Jalan Matang sekitar jam 11.15 malam pada 27 Mac lalu. 

"Mangsa didatangi oleh beberapa orang lelaki yang mana dua orang daripada mereka terus memukul mangsa di bahagian perut, muka dan seluruh badan menggunakan tangan, batu dan kayu. 

"Selepas itu mangsa telah dibawa ke Bandar Baru Semariang dan turut dipukul di lokasi tersebut. 

"Akibat kejadian ini, mangsa mengalami sakit di tangan sebelah kiri, tulang rusuk sakit, sakit rahang, tulang bawah mata pecah serta bengkak di muka dan sakit di perut," jelasnya. 

Tambahnya lagi, punca kejadian adalah disebabkan isteri mangsa telah berhutang dengan suspek sebelum ini dan gagal dilunaskan. 

Berikutan itu, katanya, suspek mencari mangsa tersebut apabila gagal menghubungi isteri mangsa. 

Mengulas lanjut, Abang Zainal memberitahu, hasil siasatan awal mendapati isteri kedua mangsa telah membuat pinjaman wang dengan peminjam wang tanpa lesen (Ah Long) yang dikendalikan oleh suspek. 

Menurutnya, jumlah pinjaman tersebut adalah sebanyak RM1,000 sahaja tetapi hanya dapat wang sebanyak RM800 sahaja. 

"Pembayaran bulanan adalah sebanyak RM150 untuk tempoh 36 bulan dan pinjaman ini telah dibuat sejak pada bulan Mei 2021. Tiada dokumen yang sah dalam urusan pinjaman ini," dedahnya. 

Katanya, sebelum kejadian, mangsa telah berjumpa dengan kedua-dua suspek yang mahu menagih hutang dan meminta tempoh untuk menjelaskan hutang tersebut tetapi telah berlaku salah faham kerana mangsa tidak mahu mereka mencari isteri mangsa yang telah berhutang itu. 

"Ini menyebabkan salah seorang suspek marah lalu memukul mangsa dan sebaik melihat kejadian tersebut, seorang lagi suspek juga turut ikut bersama memukul mangsa," ujarnya.
Next Post Previous Post