Dua lagi suspek kes samun bersenjata dan berkumpulan diburu

BINTULU-- Polis Bintulu kini giat memburu dua suspek yang disyaki terlibat dalam dua kes samun bersenjata dan berkumpulan yang dilaporkan pada 16 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Batholomew Umpit berkata, kedua-dua suspek kini dalam senarai orang dikehendaki untuk membantu siasatan bersabit kes samun bersenjata dan berkawan.

"Mereka Mohd Nazri Mohd Fauzi, 26 tahun, beralamat dari Kampung Penan Muslim, Niah dan Nally Magisat berusia 33 tahun beralamat di Kampung Ugos, Niah.
 
"Penama dikehendaki untuk membantu siasatan bersangkut dua kes samun bersenjata dan berkawan yang dilaporkan pada 16 Mac 2023 di daerah Bintulu," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Justeru, katanya orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai penama ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Christina Edris di talian 014- 3574148 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu di talian 086-318304.

Tegas Batholomew, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan kes video tular di media sosial semalam adalah bersabit tangkapan kes samun bersenjata dan berkawan.

Katanya, pada 17 Mac sekitar jam 11.54 pagi, tular satu video berdurasi 2 minit 19 saat di media sosial bersabit tangkapan kes samun bersenjata dan berkawan oleh anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bintulu bersama dengan PDRM Miri di Jalan Bakam/Luak Bay, Miri.

"Kes melibatkan tangkapan ke atas seorang lelaki
warganegara tempatan yang memandu sebuah kenderaan jenis Proton Saga warna merah.

"Tangkapan ini untuk membantu siasatan ke atas dua kes samun bersenjata dan berkawan yang dilaporkan di Bintulu.

"Semasa di Jalan Bakam/Luak Bay, Miri berlaku aksi
kejar-mengejar, ketika pihak polis hendak menahan
dan memeriksa proton saga merah tersebut," dedahnya.

Tambahnya, kenderaan yang dipandu suspek tiba-tiba dipandu secara agresif, mengundur dan berbahaya sehingga menyebabkan kerosakan kepada sebuah kenderaan awam.

"Pemandu tersebut bagaimanapun berjaya ditahan untuk membantu siasatan bersangkut dua kes samun bersenjata dan berkawan yang dilaporkan pada 17 Mac 2023 di daerah Bintulu," ujarnya.

Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang
tidak benar kerana dikuatiri boleh menimbulkan
kegusaran kepada masyarakat.

"Pihak polis dalam usaha untuk mengesan dua lagi
warga tempatan untuk membantu siasatan dan sekiranya mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta
menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Christina Edris di talian 014-3574148 atau bilik gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304," tegasnya.
Next Post Previous Post