Sarawak catat rekod peroleh RM11.9 bilion pada 2022 - beri subsidi bil elektrik RM200 juta kepada rakyat.

Foto ihsan Sarawakku

KUCHING: Sarawak berjaya memungut hasil sebanyak RM11.9 bilion pada tahun 2022 berbanding hanya RM10.2 bilion pada tahun sebelumnya, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau ia telah melepasi unjuran hasil sebanyak 17 peratus, yang mana merupakan prestasi hasil tertinggi yang pernah dicapai oleh Sarawak.

"Hasil Sarawak secara amnya terdiri daripada empat kategori utama iaitu hasil cukai, hasil bukan cukai, terimaan bukan hasil termasukpemberian dan pembayaran balik Persekutuan," ujarnya dalam kenyataan media, hari ini.

Hasil cukai katanya menyumbang kepada RM6.7 bilion atau 56 peratus daripada jumlah hasil, manakala kategori lain menyumbang 44 peratus.

Menurut beliau, di bawah kategori hasil cukai, Cukai Jualan Negeri (SST) menyumbang 84 peratus atau RM5.6 bilion daripada jumlah hasil cukai yang dikutip.

Produk bercukai di bawah SST ujarnya antara lain terdiri daripada produk minyak dan gas, produk kelapa sawit dan juga aluminium.

"Kutipan SST amat memberansangkan disebabkan oleh faktor harga pasaran yang lebih tinggi pada 2022 khususnya dalam sektor minyak dan gas serta produk kelapa sawit," jelasnya.

Abang Jo berkata, sebelum pengenalan SST ke atas produk minyak dan gas khususnya bagi tahun kewangan 2018, hasil kutipan ketika itu ialah RM7.2 bilion.

Oleh itu katanya, prestasi hasil bagi tahun kewangan 2022 menyaksikan peningkatan sebanyak 65 peratus berbanding tahun 2018.

Kerajaan Sarawak ujarnya akan terus mengkaji dan meneliti pelbagai inisiatif utama bagi meningkatkan hasil Sarawak melalui peningkatan, meluaskan dan mempelbagaikan sumber pendapatannya.

"Pada tahun 2022, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan seperti menguatkuasakan dasar dividen negeri ke atas Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) termasuk mengenakan SST ke atas arang batu," jelas beliau.

Usaha ini tegasnya amat penting kerana Kerajaan Sarawak akan meneruskan agenda pembangunannya dalam usaha menjadikan Sarawak sebuah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030 sebagaimana yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030.

Bercakap mengenai pelanjutan diskaun bil elektrik, Abang Johari berkata, bagi membantu meringankan beban rakyat serta komuniti perniagaan dalam mengharungi cabaran ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Kerajaan Sarawak memutuskan untuk meneruskan pemberian Bantuan Khas Sarawakku Sayang ( BKSS) diskaun bil elektrik sebanyak 5 peratus hingga 25 peratus bagi pengguna domestik, komersil dan industri dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini yang melibatkan kos bernilai RM200 juta.
Next Post Previous Post