Runtuhan bukit ancam empat sekeluarga

SARIKEI: Empat sekeluarga di Rumah Chuat Sungai Ribong di sini bagaikan telur di hujung tanduk selepas berlakunya runtuhan serius pada bahagian belakang rumah panjang mereka awal pagi tadi.

Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, sepasukan anggota BBP Sarikei dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.33 pagi tadi.

"Sampai di rumah panjang berkenaan, pasukan bomba mendapati sememangnya berlaku runtuhan serius pada bahagian belakang rumah panjang yang mana hampir merempuh bahagian dapur kediaman," ujarnya.

Pihak Bomba kemudiannya membuat pemantauan di sekitar lokasi serta berjumpa dengan penghuni rumah panjang.

Pasukan bomba kemudiannya menasihati penduduk agar berhati-hati memandangkan runtuhan serta mendapan susulan boleh berlaku pada bila-bila masa.

"Dalam masa sama, penduduk dinasihatkan agar segera berpindah ke lokasi selamat sekiranya runtuhan semakin buruk demi keselamatan mereka sendiri," jelasnya.

Selepas mempastikan keadaan benar-benar selamat, pasukan bomba bertolak semula balik ke balai pada jam 9.20.pagi.

Sarawak Update
Next Post Previous Post