Mengaku pegawai polis Bukit Aman, lelaki direman angkara "prank" melampau

KUCHING— Ibarat gali kubur sendiri, seorang lelaki ditahan di Balai Polis Tapah semalam selepas melakukan ‘prank’ dengan menyamar sebagai polis untuk menangkap anggota polis yang sedang bertugas.

Suspek, 36, bakal disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan, suspek telah pergi ke Balai Polis Tapah sekitar jam 5.20 petang dan ditahan beberapa minit selepas aksi ‘prank’ tesebut.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan awal mendapati suspek menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman yang datang melapor diri.

“Ketika berada di kaunter aduan di hadapan pengadu dan seorang lagi anggota polis, suspek turut memperkenalkan dirinya sebagai pegawai turus dari Bukit Aman 
dan tujuan dia datang ke Balai Polis Tapah adalah untuk menangkap pengadu. 

Selepas berkata demikian, suspek keluar ke arah kenderaannya untuk mengambil fail. Walau bagaimanapun ketika suspek masuk kembali ke Balai polis Tapah, dia membawa satu kek dan menjelaskan bahawa perbuatannya itu tadi hanyalah prank,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Abang Zainal berkata, memandangkan perbuatan suspek itu telah melampau batas, rakan setugas pengadu telah memberikan amaran dan bertanya adakah dia adalah polis yang sebenar ataupun tidak. 

“Suspek sekali lagi memberitahu bahawa dia adalah seorang anggota polis yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching. Memandangkan terdapat keraguan atas keterangan suspek, pengadu dan rakan setugas telah membuat pemeriksaan lanjut ke atas dokumen suspek dan mendapati bahawa dia bukan seorang pegawai atau anggota daripada PDRM.

Pemeriksaan dokumen kemudiannya telah dilakukan dan mendapati bahawa suspek sebenarnya adalah orang awam biasa di mana isterinya menjalankan perniagaan tempahan kek. 

“Suspek telah cuba mengelirukan pengadu dan rakannya dengan menyamar sebagai anggota polis, tangkapan kemudiannya dilakukan,” katanya.

Suspek ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan akan direman di Mahkamah Kuching hari ini.

Abang Zainal turut menasihatkan orang awam agar, "Berhati-hati ketika nak buat prank agar masyarakat sedar dan peka kesan akibat prank yg boleh menimbulkan kegusaran dan menganggu-gugat ketenteraman."
Next Post Previous Post