Maut ditembak ketika berburu, abang dan adik direman untuk siasatan

BAU—Polis menahan dua beradik bagi membantu siasatan kes terkena tembakan semasa berburu sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di kawasan hutan berdekatan Sungai Boyuh, kampung Jugan, Bau, 16 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, kedua-dua lelaki masing-masing berusia 40 dan 50 iaitu adik dan abang kepada mangsa ditahan pada 17 februari jam 5 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau.

“Polis turut merampas dua laras senapang patah buatan sendiri, sebutir kelongsong peluru dan sejumlah peluru hidup.

“Kedua-dua suspek akan dibawah ke Mahkamah Bau untuk dipohon tahanan reman. Kes telah diklasifikasi di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Pada 16 Februari jam 11.45 malam, polis telah menerima panggilan telefon dari pihak Hospital Bau memaklumkan seorang lelaki tempatan berumur 49 tahun, telah meninggal dunia akibat terkena kesan tembakan semasa berburu.
Next Post Previous Post