Kos rawatan murah, hospital kerajaan sesak

KUALA LUMPUR-- Kos rawatan yang murah dan berpatutan menyebabkan 
rakyat memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof 

Jelasnya, ia antara faktor yang menyumbang kepada isu kesesakan yang kini dihadapi hospital kerajaan secara 
keseluruhannya. 

"Selain itu, kadar prevalens Penyakit Tidak Berjangkit (NCDs) seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung) yang kian 
meningkat di kalangan rakyat dan keperluan pesakit COVID-19 untuk mendapatkan rawatan berterusan jangka panjang," katanya. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Parlimen Ke-15 hari ini. 

Oscar dalam pertanyaannya meminta penjelasan tentang isu kesesakan hospital kerajaan pada ketika ini semakin membimbangkan di mana rakyat tidak dapat perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang bersesuaian di samping 
perlu menunggu lama bagi mendapatkan khidmat kesihatan daripada kerajaan. 

Manakala, kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) Hospital Kerajaanpula, kata Fadillah ia dikenal pasti berpunca daripada jumlah pesakit yang ramai di zon hijau (bukan kecemasan) dan melebihi nisbah optima berbanding doktor yang bertugas. 

Jelasnya, ini menyebabkan tempoh menunggu giliran bertambah panjang bagi memastikan semua pesakit mendapat perkhidmatan sewajarnya. 

"Untuk makluman ahli Yang Berhormat, sebanyak 70 peratus kes di ETD ini dikategorikan sebagai bukan kecemasan seperti luka kecil, kebakaran, dan lebam; ketegangan otot, regangan, dan tulang patah; jangkitan pernafasan dan gejala seperti selsema; alergi dan tindak balas alergi; jangkitan kulit kecil dan ruam; sakit kepala, migrain, sakit tekak dan jangkitan telinga; dan masalah pencernaan, termasuk loya dan muntah dan lain-lain," ujarnya. 

Justeru, kata Fadillah kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas 
Reformasi Sektor Awam (STAR) untuk menerajui inisiatif mengurangkan kesesakan di hospital Kerajaan. 

"Beberapa siri perbincangan sedang dijalankan melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, 
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Jabatan Perkhidmatan Awam bersama-sama dengan pihak pengamal perubatan swasta," katanya lagi. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu kesihatan rakyat merupakan kunci utama untuk Malaysia mencapai objektif pembangunan ekonomi yang lestari dan masyarakat yang lebih mampan. 

Menurutnya, ketika ini, majoriti pesakit yang hadir ke hospital kerajaan adalah daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan bawahan.

"Sehingga tahun 2022, jumlah keseluruhan bilangan hospital dalam negara adalah sebanyak 355 buah iaitu 209 hospital swasta dan 146 hospital Kerajaan manakala jumlah klinik adalah 11,577 buah iaitu 8,419 klinik kesihatan swasta dan 3,158 klinik kesihatan Kerajaan," jelasnya.
Next Post Previous Post