Kerajaan pusat dan negeri berganding bina pusat kanser untuk Sarawak




KUCHING-- Kerajaan Persekutuan kini dalam fasa rundingan dengan kerajaan negeri untuk menubuhkan Pusat Kanser di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara perincian itu ialah kerajaan negeri menanggung kos pembinaan pusat kanser yang dianggarkan bernilai RM800 juta.
"Manakala kerajaan Persekutuan pula akan menyediakan khidmat doktor dan peralatan perubatan," katanya semasa sidang media pada Majlis Kempen Kesedaran Saringan Kanser 2023 di Klinik Kesihatan Petra Jaya hari ini.
Sebelum ini Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak bersedia bekerjasama dengan Persekutuan untuk membina sebuah pusat kanser.
Terdahulu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya dalam ucapan berkata, terdapat tiga jenis paling kerap dikesan di Sarawak.
"Di kalangan lelaki adalah kanser saluran pernafasan termasuk paru-paru (14.3%), kanser nasofarinks atau pangkal hidung (13.9%), kanser kolorektal (12.7%).


Manakala, wanita pula adalah kanser payudara (20.9%), kanser pangkal rahim (12.6%) dan kanser kolorektal (9.5%)."
Fadillah berkata, kebanyakan masalah kanser ini dikesan pada tahap tiga dan tahap empat.
"Berdasarkan pengalaman saya sebagai wakil rakyat, saya banyak berdepan dengan mereka yang menderita penyakit kanser yang memerlukan bantuan dan perhatian khasnya masyarakat yang tinggal di Kawasan Parlimen Petra Jaya ini," katanya.


Tambahnya, menurut kajian sebanyak 30 peratus kanser boleh dicegah dengan pembudayaan gaya hidup seharian yang sihat.
Fadillah turut berterima kasih
kepada Jawatankuasa Penganjur iaitu Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, Klinik Kesihatan Petra Jaya dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Petra Jaya, di atas usaha menganjurkan program berkenaan.
"Terima kasih juga di atas kerjasama dan penyertaan Panel Penasihat Klinik Kesihatan, Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program berkenaan.
Next Post Previous Post