Isu ejen pelancongan beli tiket penerbangan secara pukal, tindakan tegas akan diambil jika langgar undang-undang- Tiong

KUCHING-- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengambil tindakan tegas seperti membatalkan lesen terhadap syarikat ejen pelancongan yang didapati melanggar undang-undang yang ditetapkan kementerian itu.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata beliau telah mengarahkan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan menjalankan siasatan dan bertemu dengan ejen pelancongan bagi membincangkan isu harga tiket penerbangan yang dibeli secara pukal atau berkumpulan.

"Memang ini satu isu dan saya telah meminta Timbalan Menteri untuk menjalankan siasatan dan pertemuan bersama semua ejen pelancongan atas perkara itu.

"Saya dimaklumkan pertemuan itu telah selesai dan saya akan bertemu dengan Timbalan Menteri untuk mendapatkan maklumat berkaitan perkara ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Tegas Tiong, jika ejen pelancongan didapati melanggar undang-undang ditetapkan, MOTAC sedia mengambil tindakan sewajarnya.

"Kita akan putuskan dan boleh dibatalkan lesen jika mereka jalankan perniagaan tidak mengikut undang-undang yang kita telah tetapkan," katanya.

Baru-baru ini, Jurucakap Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), berkata harga tiket penerbangan yang dibeli secara pukal atau berkumpulan adalah berasaskan harga rundingan di antara ejen pelancongan dan syarikat penerbangan berdasarkan terma dan syarat yang sudah dipersetujui bersama.

Jelasnya, ia adalah keputusan komersial yang dicapai oleh kedua-dua pihak dan antara faktor yang mempengaruhi harga tiket penerbangan yang dibeli secara pukal atau berkumpulan ialah saiz kumpulan, tarikh penerbangan dan waktu pelepasan.

"Pengawalseliaan dan pelesenan agensi atau ejen pelancongan tidak terletak di bawah bidang kuasa MAVCOM, tetapi di bawah bidang kuasa MOTAC," katanya.

MAVCOM mengeluarkan kenyataan itu sebagai mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mengatakan Kementerian Pengangkutan akan merujuk kepada MAVCOM bagi memperoleh gambaran sebenar isu berkenaan.

Sebelum ini, beberapa syarikat umrah tempatan yang membeli tiket penerbangan secara pukal untuk penerbangan ke Tanah Suci dan didakwa turut menjualnya kepada agensi umrah di Indonesia pada harga sehingga RM6,000 bagi mengaut keuntungan besar.

MAVCOM menjelaskan, hak pengguna penerbangan termasuk penerimaan penjagaan daripada syarikat penerbangan sekiranya berlaku gangguan penerbangan masih terlindung seperti mana diperuntukkan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), MAVCOM.

"Pada masa ini, MAVCOM sedang bekerjasama dan memberikan sokongan yang diperlukan kepada MOTAC dalam menangani isu yang dibangkitkan," ujarnya.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.