150 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar di Miri terima sijil perlindungan insurans RM25,000

MIRI-- Seramai 150 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar yang berdaftar di Daerah Miri menerima Sijil Perlindungan Insurans semasa Program Kick-off Jelajah Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) pada Khamis.

Sumbangan disampaikan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Sarawak ICU JPM, Jasni Jubli.

Program ini dianjurkan melalui kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN). 

SIKR memberikan perlindungan selama 12 bulan secara percuma kepada golongan miskin tegar  
yang berdaftar di dalam sistem eKasih.

SIKR mula dilaksanakan pada 1 September tahun lepas selepas diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) pada 23 Mac 2022. 

Jumlah peserta yang dilindungi di bawah SIKR adalah seramai 268,887 KIR miskin tegar dan miskin (berumur antara 19 hingga 60 tahun) di seluruh negara dengan kos sebanyak RM13.4 juta. 

Di bawah SIKR ini, waris layak menerima manfaat sebanyak RM10,000 bagi KIR meninggal dunia secara semulajadi atau RM25,000 bagi KIR meninggal dunia akibat kemalangan.

Manakala KIR yang mengalami kecacatan kekal (pelbagai punca) pula layak menerima pampasan RM10,000. 

Kerajaan sangat komited dalam melaksanakan program pembasmian kemiskinan bagi mencapai sifar miskin tegar menjelang tahun 2025, di samping menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat. 

Jelajah SIKR hari ini adalah yang pertama seumpamanya telah diadakan di Miri, dengan sesi penyerahan sijil perlindungan insurans dan penyerahan Bakul Kasih yang disampaikan oleh Pengarah PPN Sarawak ICU JPM, Pengarah Bahagian Kesejahteraan Rakyat ICU JPM, Mashitah @Suhailah Suid serta Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail, di Hotel Dynasty, Miri, Sarawak.

ICU JPM turut menzahirkan penghargaan terima kasih kepada rakan strategiknya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di atas sumbangan 3,000 buah beg sekolah yang telah diagihkan kepada semua PPN di seluruh negara. 

Sumbangan ini dilaksanakan melalui program CSR Kasih Prihatin Kembali ke Sekolah bagi anak-anak eKasih terpilih di bawah Inisiatif Kesejahteraan Rakyat (IKR), ICU JPM yang diterajui oleh Bahagian Kesejahteraan Rakyat.
Next Post Previous Post