Warisan, BN sokong Kerajaan Perpaduan Sabah

 

Resep Sawi Gulung Sehat, Tanpa Tepung

KOTA KINABALU, 10 Jan (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menyokong penuh langkah mewujudkan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.
 
Bung Moktar dan Mohd Shafie dalam kenyataan berasingan hari ini berkata langkah mewujudkan Kerajaan Perpaduan dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengan pemimpin negeri itu di sini malam tadi. 

 Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, langkah mewujudkan Kerajaan Perpaduan di peringkat kerajaan negeri itu dilihat mampu meredakan suhu politik dan menstabilkan situasi politik di Sabah ketika ini. “Saya juga berharap agar Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dapat menerima dengan hati terbuka saranan daripada Perdana Menteri demi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya. 

 Jumaat lepas, Bung Moktar mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah menarik sokongan terhadap Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional telah dilanggar.

 Malam tadi, Anwar selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Sabah di sini berkata, beliau memberi restu kepada Hajiji untuk kekal sebagai Ketua Menteri selain mahu kerajaan negeri kukuh di bawah kepimpinan Hajiji.

 Mengenai Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini melibatkan pembentangan usul penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas, Bung Moktar dan Mohd Shafie berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kedua-dua parti itu menyokong penuh pembentangan Rang Undang-undang Bekalan Gas 2023.  

 Bagaimanapun, Bung Moktar menjelaskan beliau bersama sebahagian besar ADUN BN daripada UMNO tidak dapat hadir kerana ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.

Mohd Shafie berkata ketidakhadiran ADUN Warisan pada persidangan itu pula atas sebab perlunya menubuhkan secepat mungkin sebuah Jawatankuasa Khas bagi menentukan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah seperti yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Anwar malam tadi. 

Kerajaan Sabah hari ini akan membentangkan usul bagi menerima penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas daripada kerajaan Persekutuan pada Persidangan Khas DUN. 

 Pada 21 Dis lepas, Anwar mengumumkan kerajaan Persekutuan bersetuju memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri dan perkara itu dipersetujui sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963. 

 Perhimpunan Agung UMNO 2022 akan berlangsung bermula esok hingga 14 Jan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). -- BERNAMA
Next Post Previous Post